Barisan penyampai Hot FM- FOTO Hot FM
Barisan penyampai Hot FM- FOTO Hot FM
Muhammad Najmir Razaman

PETALING JAYA: Stesen radio Media Prima, Hot FM mengumumkan penjenamaan semula slogan mereka bermula 2 Ogos lalu.

Slogan 'Yang Hangat dan Terbaik' dipilih bagi menggantikan slogan lama iaitu 'Kini Lebih Muzik Yang Hangat'.

Perubahan slogan ini dipercayai mampu memberikan gambaran yang menarik terhadap Hot FM dari semasa ke semasa. 

Komponen slogan ini juga berupaya memberikan lebih banyak info mengenai pengisian dan kandungan yang dibuat oleh Hot FM. 

Penjenamaan semula slogan ini sejajar dengan pengenalan dua tonggak baharu Hot FM iaitu Fizi Ali dan Johan yang diyakini mampu memberikan kelainan kepada barisan penyampai dan stesen itu sendiri. 

Selain itu, Hot FM juga bakal membawakan gandingan trio yang akan menghangatkan pagi anda iaitu Johan, Fara Fauzana dan AG setiap Isnin hingga Jumaat bermula 6 hingga 10 pagi menerusi segmen terbaharu, Bekpes Hot HaHaHa-Ngat.

Turut menyertai barisan penyampai Hot FM, Fad dan Fizi Ali yang bakal bergandingan mengendalikan segmen Sembang Squad dengan pengisian yang lebih segar serta pelbagai cerita hangat masa kini selain turut akan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita tentang drama-drama yang ditayangkan di TV3.

Segmen ini akan ke udara bermula 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat. 

Sementara itu, segmen Hot FM Non Stop Empat Lima bersama Ayu yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 3 petang akan memfokuskan kepada 45 minit lagu bebas iklan, muzik istimewa dan ulangan segmen pagi.

Bagi segmen malam, Hot Flix yang dikendalikan oleh Imran Aqil pula akan memfokuskan kepada pendengar generasi muda, hiburan, interaksi bersama selebriti dan pendengar yang aktif di media sosial. 

Segmen Hot Flix bersama Imran Aqil akan ke udara bermula 8 malam hingga 12 tengah malam, setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Hot FM juga bakal mengadakan jelajah di Semenanjung Malaysia bagi mendekati dan meraikan pendengar setia Hot FM dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan hebat artis tanah air.

Untuk perkembangan dan pengisian digital paling hangat, ikuti laman sosial Hot FM di Facebook Hot FM, Instagram @hotfm976 dan Twitter @hotfm976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 3:34 PM