PU Riz (dua dari kanan) membuat penyerahan projektor LCD kepada pihak sekolah.
PU Riz (dua dari kanan) membuat penyerahan projektor LCD kepada pihak sekolah.
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pendakwah bebas juga selebriti, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, cukup prihatin dengan barangan keperluan utama di sekolah untuk membantu pelajar seperti projektor LCD.

Justeru, PU Riz tampil menyumbang lima projektor LCD dianggarkan bernilai RM15,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling, Sri Petaling, di sini, hari ini.

PU Riz berkata, sumbangan projektor LCD dari LUMOS Malaysia itu adalah untuk kegunaan pelajar tingkatan lima di sekolah berkenaan.

"Alhamdulillah, usaha ini dapat juga direalisasikan. Sebenarnya, kalau diikutkan sudah lama nak beri projektor ini, tapi sekolah pula belum dibuka dan ia tergendala seketika. Sekarang, apabila pelajar sudah kembali ke sekolah, jadi saya fikir ini waktu sesuai.

"Dengan adanya projektor ini, sedikit sebanyak dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah ini terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

PU Riz yang juga guru sementara di sekolah itu mengakui gembira dan bersyukur dapat melunaskan sebahagian tanggungjawabnya.

"Selain mengajar di sekolah ini, menjadi satu tanggungjawab juga buat saya untuk membantu sekolah dalam meningkatkan lagi prestasi pelajar menerusi fasiliti yang ada. Jadi, apabila dapat laksanakan hasrat ini, saya berasa lega. Sekurang-kurangnya, ada juga peninggalan berharga saya pada sekolah ini.

"Dalam masa sama, saya turut menghargai bantuan diberikan pihak LUMOS Malaysia kerana sudi bersama-sama dengan saya dalam merealisasikan tanggungjawab ini. Semoga sumbangan kecil dibuat ini akan memberi manfaat kepada semua," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:08 PM