HAMID Gurkha.
HAMID Gurkha.
Norhayati Nordin

Putrajaya: Walaupun kurang sihat, namun pelawak legenda, Hamid Gurkha yang kini berusia 90 tahun masih kuat untuk berjalan dan tidaklah hanya terlantar atas katil.

Cucunya, Farizul Afiq Muhammad ditemui berkata, sehingga kini datuknya juga tidak menghidapi sebarang penyakit kronik dan keadaan kesihatan yang semakin uzur hanya disebabkan faktor usia.

"Alhamdulillah, datuk saya buat masa ini masih boleh berjalan, ada selera makan dan sekarang pun dia hanya duduk berehat di rumah.

"Ingatan dia juga masih baik dan dia pun masih kenal semua ahli keluarga. Cuma, dia ada masalah pendengaran untuk telinga kanannya, tetapi telinga kiri masih okey dan boleh dengar dengan baik," katanya.

FARIZUL Afiq yang mewakili datuknya, Hamid Gurkha menerima Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di AME2021, baru-baru ini.
FARIZUL Afiq yang mewakili datuknya, Hamid Gurkha menerima Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di AME2021, baru-baru ini.

Farizul Afiq berkata, keadaan kesihatan datuknya mula terganggu selepas dijangkiti Covid-19 tahun lalu. Bagaimanapun, Hamid sudah lengkap dua dos vaksin ketika itu selain dia juga mempunyai semangat yang tinggi.

"Datuk memang seorang yang kuat kerana sampai sekarang masih boleh buat aktiviti sendiri lagi. Malah, Ramadan baru-baru ini juga dia boleh berpuasa penuh, termasuk sembahyang pun boleh lagi dilakukan secara berdiri.

Hamid yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978, baru-baru ini dilaporkan sakit dan hanya terlantar di rumahnya di Taman Seri Andalas, Klang selepas dijangkiti Covid-19.

Hamid yang bertemu jodoh dengan isteri, Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957 dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya sudah meninggal dunia.

Hamid juga dikurniakan 32 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 2:45 PM