Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Stesen televisyen TV3 yang menyambut ulang tahun ke-38 hari ini terus unggul dan menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan laporan berita terkini serta kandungan program berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya merakamkan jutaan terima kasih kerana menjadikan TV3 kekal sebagai stesen televisyen nombor satu negara ini.

"TV3 sudah bersiaran selama 38 tahun di negara kita. Zaman bersilih ganti, kita kini berada di era digital di mana semua maklumat dan kandungan hiburan hanya di hujung jari. Kandungan program juga tidak lari daripada melakukan pembaharuan dan pertukaran.

"Oleh itu, keseluruhan tenaga kerja dan kru produksi TV3 akan terus komited untuk memastikan jenama-jenama TV3 yang terpahat dalam hati rakyat Malaysia seperti Buletin Utama, Anugerah Juara Lagu, 999, Majalah 3, Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini berinovatif dan sentiasa menghidangkan paparan yang menarik serta memenuhi cita rasa penonton," katanya.

Sejak beroperasi pada 1984, TV3 menyediakan pelbagai paparan menarik dan kejutan untuk menyemarakkan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-38 bulan ini.

Antara yang menarik adalah TV3 bekerjasama dengan ilustrator Miriam Omar untuk menghasilkan karya seni ilustrasi yang menggambarkan perjalanan TV3.

Sentuhan Miriam juga menzahirkan kandungan popular TV3 di monumen dan bangunan ikonik serata Malaysia.

Selain itu, Buletin Utama yang menjadi program TV nombor satu di Malaysia akan memaparkan tujuh laporan khas sejak 26 Mei lalu untuk mengira detik sambutan ulang tahun TV3 ke-38.

Laporan khas terbabit menelusuri program-program TV3 yang berjaya memahat hati penonton setianya menerusi program Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, 999 dan Buletin Utama.

Lebih istimewa, 12 penyampai berita legenda turut kembali beraksi di pentas Buletin Utama bersama-sama dengan penyampai berita terkini.

Menerusi program Majalah 3 pula, terdapat paparan istimewa mengenai tragedi Highland Towers serta pengalaman wartawan Fariha Onn yang membuat liputan kejadian letusan Gunung Merapi Jogjakarta. Bukan hanya itu, program Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini turut memaparkan segmen khas bersempena dengan sambutan istimewa ini.

Kedua-dua program ini turut mengajak penonton TV3 untuk menyertai pertandingan pulut kuning berhias dari 19 Mei hingga 26 Mei lalu. Pemenang utama diraikan di siaran langsung Wanita Hari Ini, hari ini. Program Nona yang menampilkan Amyra Rosli pula akan bersama-sama dengan bekas hos program terbabit iaitu Neelofa di episod khas ulang tahun TV3 ke-38 yang bersiaran pada 5 Jun ini.

Bagi peminat kisah-kisah jenayah, rancangan 999 akan menyiarkan kejadian dan perbicaraan kes-kes jenayah terkenal terdahulu pada 7 dan 14 Jun ini.

Bagi pengikut setia slot Cerekarama, jangan ketinggalan untuk menyaksikan pelakon-pelakon popular tanah air menerusi empat telefilem sepanjang bulan Jun ini, setiap Sabtu jam malam.

Antaranya, Dendam Penunggu (Ismail Izzani & Shalma Eliana), Matahari Tak Bercahaya (Nad Zainal & Fattah Amin), Dania (Aedy Ashraf & Puteri Balqis) dan Langit (Eira Syazira & Azad Jasmin).

Lebih istimewa, terdapat dua telefilem yang diinspirasikan daripada dua laporan khas program 999 iaitu insiden HIV (telefilem Matahari Tak Bercahaya) dan polisi kad pengenalan Malaysia (telefilem Dania). Seiring dengan tayangan filem terbaharu Jurassic World Dominion, slot Magnificent 8 akan membawa penonton ke pengembaraan Jurassic dengan tayangan siri francais filem Jurassic Park. Ia akan mula ditayangkan pada 12 Jun ini jam 3 petang.

Bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun, TV3 akan mengadakan Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama pada 18 Jun ini.

Pintu akan dibuka untuk orang awam pada jam 9 pagi di mana seisi keluarga boleh beriadah dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan serta beramah-mesra dengan selebriti-selebriti popular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 1:30 PM