Keoh Chee Ang. Foto Aziah Azmee
Keoh Chee Ang. Foto Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit filem Keoh Chee Ang meluahkan rasa gembira dengan kritikan membina yang diterima untuk filem terbitannya, Tiga Janda Melawan Dunia arahan pengarah, Hyrul Anuar.

Chee Ang ketika ditemui berkata, walaupun kutipan untuk minggu pertama tayangan belum mencecah angka RM1 juta, namun, dia gembira dengan reaksi dan maklum balas positif yang diterima mengenai filem itu.

"Setakat ini, kutipannya belum mencecah RM1 juta. Namun, saya berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada filem ini dan sudi datang menonton dan meraikan kehadiran filem ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai hasil akhir filem itu, Chee Ang juga begitu teruja dengan hasil akhir yang begitu penuh warna warni hasil garapan Hyrul.

"Saya sangat berbangga kerana mengenali Hyrul sebagai pengarah yang berpengalaman mengarahkan iklan, dia hadir dengan idea yang luar biasa dan penuh warna warni.

"Apa jangkaan yang dia berikan kepada kami pada peringkat awal, dipersembahkan dengan begitu baik dalam hasil akhirnya," katanya.

Menurutnya, dia juga gembira dengan komitmen tinggi daripada pelakon-pelakon senior yang menjadi teraju utama filem ini antaranya Khatijah Tan, Normah Damanhuri, Raja Azura, Rosnah Mat Aris dan ramai lagi.

"Walaupun pelakon ini sudah senior, tapi, mereka tak pernah merungut dan semua yang terbabit mencurahkan jiwa mereka ke dalam karya seni ini," katanya.

Filem Tiga Janda Melawan Dunia mula ditayangkan pada 19 Mei lalu mengisahkan mengenai tiga janda yang berusaha mengumpul wang untuk membeli tiket konsert terakhir artis pujaan mereka, Aiman Zalini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 2:34 PM