Anuar Zain
Anuar Zain
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Bergelar antara penyanyi ikonik yang digilai rakyat Malaysia, Anuar Zain, 52, tidak henti bersyukur apabila sentiasa dikelilingi peminat penuh aura positif.

Bahkan, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain menyifatkan ia rahmat terbesar apabila masih disayangi peminat sehingga saat ini.

"Itu rahmat juga bila orang sayang kita. Bukan senang orang nak suka kita. Kadang-kadang, tengok muka kita pun orang boleh benci kan.

"Untuk orang suka itu, bukan mudah ya. Bukan senang orang sayang kita kerana pada masa sama, ada juga yang membenci kita padahal kita tak buat apa-apa pun," katanya.

Penyanyi lagu Sedetik Lebih itu juga sentiasa berlapang hati kerana peminatnya tidak henti menyalurkan hal baik buatnya.

"Saya rasa berkat sangat bila ramai orang yang selalu curahkan kasih sayang menerusi mesej, persembahan, masa berjumpa.

"Rata-rata, yang mendoakan baik-baik itu masyallah, seronok sangat jumpa ramai orang positif," katanya.

Anuar bagaimanapun tidak menafikan memang ada juga menerima mesej-mesej peribadi (DM) di Instagram yang mengarut. Namun dia berpegang kepada prinsip sentiasa layan peminat sama rata.

"Kebanyakan DM yang baik-baik. Biasanya yang berkomunikasi dengan saya menerusi DM, mereka rata-rata yang saya sudah kenal dan sentiasa positif.

"Ada juga yang begitu (mengarut) tetapi saya kalau boleh tak nak guris hati sesiapa. Mana yang boleh balas, saya balas. Ada juga dan pelbagai jenis hal lah.

"Sebenarnya tak kisahlah. Kami cuma di sini untuk misi menyenangkan, membahagiakan, menghiburkan hidup orang lain, mungkin ini tugas kami kan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 1:15 PM