Hidup Watie lebih teratur dan berdisiplin.
Hidup Watie lebih teratur dan berdisiplin.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah menjelaskan kecaman dan kata-kata negatif netizen tidak meninggalkan impak buat dirinya.

Watie yang juga terbabit dalam perniagaan bersyukur apabila mula diterima sebagai isteri kepada pelawak dan penyampai radio popular itu.

"Saya sangat bersyukur sekarang ini sebab ramai yang mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Shuib. Sebelum ini belum kahwin mungkin orang belum kenal saya lagi kan.

"Komen negatif sebelum ini tak beri kesan pun terhadap saya, sebaliknya komen positif yang saya terima selepas kahwin lagi memberi kesan.

"Saya sudah boleh sesuaikan diri dengan kehidupan sekarang, lebih-lebih lagi berkahwin dengan selebriti. Saya melihat netizen pun sudah semakin positif.

"Dulu orang kecam pun saya tak ambil kisah sangat, saya lebih memikirkan orang di sekeliling saya termasuk penerimaan keluarga masing-masing," katanya.

Berkongsi mengenai perubahan selepas bergelar isteri, Watie berkata, kehidupannya kini lebih teratur dan berdisiplin.

"Saya bangun awal pagi dan hantar anak-anak ke sekolah. Tengah hari ambil mereka pulang dari sekolah pula," katanya.

Watie dan Shuib disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 23 Jun lalu di Putra Glass House, Putra Heights.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 11:34 AM