Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Tiga syarat utama penggambaran digugurkan Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sempena fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Tiga perkara termasuk syarikat penerbitan tidak perlu lagi mengemukakan sijil vaksinasi lengkap dua dos untuk kru produksi, artis dan pelakon tambahan.

Selain itu, tidak perlu mengemukakan nama dan sijil Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) dilantik syarikat yang dahulu menjadi syarat tambahan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) Khas dan keputusan calitan Covid-19 tiga hari sebelum aktiviti penggambaran bermula.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid bagaimanapun berkata, syarat pengambilan suntikan vaksin membabitkan pelakon, kru dan 'talent' adalah tertakluk kepada syarikat produksi.

"Dalam syarat SPP kami tidak nyatakan, namun ia tertakluk di bawah tanggungjawab syarikat berkenaan. Sekiranya berlaku apa-apa kluster pihak syarikat berkenaan kena bertanggungjawab," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zakaria, arahan berkenaan pengambilan vaksin tertakluk pada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebelum ini berdasarkan arahan MKN memang diwajibkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkara itu diusulkan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), sebelum mencapai kata sepakat bagi memenuhi permintaan berkenaan.

"Tiga syarat utama dimansuhkan amat membebankan penerbit. Jadi, menggugurkan tiga syarat ini membantu mempermudahkan kerja selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik.

"Walaupun tiga syarat utama digugurkan, Finas menerusi badan penguatkuasaan tetap melakukan pemantauan agar syarikat produksi tidak sambil lewa bagi memastikan Covid-19 tidak menular dalam kalangan pekerja filem.

"Namun, syarikat produksi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sejak 1 April lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 seperti menjaga penjarakan fizikal dan mengenakan pelitup muka ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Selain itu, menurut Md Nasir, syarikat produksi masih dikehendaki mengisi buku log aktiviti penggambaran yang mana pihak syarikat bertanggungjawab sekiranya berlaku kluster Covid-19 sepanjang tempoh penggambaran dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 2:09 PM