Nikki Palikat
Nikki Palikat
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Nikki Palikat, 37, berazam membawa lagu Sudah yang sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti.

Diberi tanggungjawab untuk mengambil alih lagu itu, Nikki berkata, besar harapannya menunaikan hasrat Siti Sarah yang tidak kesampaian untuk melihat karya ciptaan Naim Daniel itu dipersembahkan di pentas berprestij berkenaan.

"Saya ada terbaca kenyataan arwah sebelum ini bahawa lagu Sudah sepatutnya diharapkan akan menjadi 'lagu AJL' arwah. Saya ingin tunaikan hajatnya itu dan berdoa jadi kenyataan.

"Apabila diberikan tawaran menyanyikan lagu itu, saya tahu ia satu tanggungjawab cukup besar untuk digalas. Ia karya yang cukup kuat dan perlukan keadilan dari segi pelaksanaannya.

"Saya sendiri terus jatuh cinta dengan lagu itu. Bahkan kedalaman maksudnya membuatkan saya menangis sewaktu proses rakaman serta penggambaran video muziknya," katanya.

Nikki berkata, dia turut berdepan komen membandingkan kebolehannya menghidupkan lagu itu dengan versi Siti Sarah.

Apatah lagi, Allahyarham pernah berkongsi video nyanyian santai lagu itu dengan iringan piano.

"Sewaktu arwah nyanyikan lagu itu, versinya lebih mentah dan susunan lagu pun belum tetap. Manakala terjemahan saya dalam Sudah pula memang cukup berbeza dan mengikut cara sendiri.

"Mengenali Siti Sarah, arwah adalah seorang yang akan mengalu-alukan kreativiti penyanyi lain menyanyikan lagunya. Jadi, saya yakin sudah dengan terjemahan sendiri terhadap lagu itu," katanya.

Terdahulu, suami arwah juga pelakon Shuib berkongsi sangat gembira akhirnya lagu yang lama 'diperam' itu sudah ada pemiliknya iaitu Nikki.

Nikki baru-baru ini turut memenangi tempat kedua Gegar Vaganza 8.

Siti Sarah meninggal pada 9 Ogos tahun lalu sebaik melahirkan anak keempatnya Ayash Affan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 1:45 PM