Shiqin Kamal.
Shiqin Kamal.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Sering terima mesej kebencian, pelakon Shiqin Kamal, 31, ingin menapis tawaran watak selepas ini dan sebaiknya cuba elakkan untuk berlakon karakter jahat lagi.

Shiqin atau nama sebenarnya Nur Ashiqin Mohd Kamal berkata, dia bukan tolak rezeki sebaliknya ingin tunjukkan lagi sisi lainnya sebagai pelakon selain penat 'dibenci' orang ramai.

"Ramai yang selalu tanya, kenapa saya tidak bawa watak baik dan asyik jahat saja. Saya selalu sangat dapat pelbagai mesej langsung (DM) di Instagram cakap macam-macam, tak suka saya dan benci tengok muka saya.

"Bila dapat mesej begitu, memang saya tertekanlah juga sebab hampir semua nak benci saya. Bahkan, ada yang mesej sentuh pasal hidup saya, padahal tidak kenal pun siapa diri saya sebenar.

"Bermula tahun lalu, saya ada berbincang dengan pengurus untuk lebih menapis tawaran cari watak bukan jahat. Tapi bukanlah sampai tolak semua tawaran watak sebegitu, nanti tak kerjalah saya," katanya.

Pelakon drama Risik Pada Hati itu berkata, dia menyimpan impian untuk mendapat watak yang berkisar pemerkasaan wanita suatu hari nanti.

"Kalau watak jahat dalam filem, saya okay saja sebab babak pun tak banyak dan orang ingat sekejap saja. Tapi bila jadi jahat dalam drama sampai 30 episod, meluatlah penonton tengok saya lakonkan watak begitu hari-hari.

"Saya memang harap sangat dapat watak pasal 'women empowerment' pula suatu hari nanti. Kalau boleh genre aksilah sebab saya memang sangat sukakan perihal lasak-lasak ini sebenarnya," katanya.

Shiqin juga tidak menafikan sehabis baik cuba positifkan diri apabila kerap mendapat komen kebencian. Bagaimanapun, bukan mudah kerana hampir setiap hari ada yang DM dan kecam dirinya.

"Orang senanglah cakap suruh saya jangan baca komen atau mesej. Asalkan sudah dapat buat duit, saya patut buat tak tahulah. Tapi, tidak semudah itu ya.

"Bila dapat mesej yang sampai hina wajah saya, perlekeh fizikal, dan lain-lain, ada kala memang hati saya terguris juga. Sekurangnya, kalau seimbang lakonkan watak baik dan jahat, komen diterima pun pastinya seimbang," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 11:36 AM