Safiey Ilias
Safiey Ilias

Kuala Lumpur: Usahawan kontroversi, Safiey Ilias menafikan dia muflis sehingga terpaksa menjual rumah yang terletak di Sunway Montana, di sini.

Safiey, 26, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias berkata, dia reda dengan keputusan dibuat selepas enam tahun mendiami rumah tiga tingkat itu.

"Biarlah apa orang nak cakap. Masa inilah orang nak gelak dan ketawa sepuas hati. Sebenarnya dulu lagi saya pernah cakap nak jual rumah ini. Jadi, semalam saya sudah buat keputusan untuk jual.

"Bukan sebab saya muflis atau apa, tapi saya perlu mulakan sesuatu yang baharu selepas ini. Terima kasih Allah SWT atas rezeki ini sehingga saya mampu membeli rumah ini dulu. Walaupun sekejap saja dapat duduk," katanya.

Safiey juga penyanyi lagu Syinta Gila berkata, dia sudah menyerahkan urusan jualan rumah itu kepada ejen dilantik selain dalam proses menjual semua barangan dalam rumah itu.

"Ikut pasaran semasa saya difahamkan harga rumah ini mencecah RM2.1 juta. Saya sudah melantik beberapa ejen hartanah bagi urusan jual beli.

"Saya juga sedang aktif menjual semua barangan rumah yang ada kerana rumah ini perlu dikosongkan segera. Doakan semoga saya kuat dan tabah dalam menempuh kehidupan selepas ini. Banyak betul dugaan saya sejak beberapa tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 12:02 PM