SYURA bersama Muhamad Farizat ketika majlis persandinga. FOTO Instagram Syura Badron
SYURA bersama Muhamad Farizat ketika majlis persandinga. FOTO Instagram Syura Badron
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Bermula sebagai sahabat, saya tak sangka dia berjaya meyakinkan saya untuk melangkah ke alam perkahwinan dengannya."

Demikian kata penyanyi, Syura Badron, 36, yang selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Muhamad Farizat Ismail, 28, pada tengah hari semalam di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.

Syura ketika dihubungi berkata, perkenalannya dengan Farizat yang juga usahawan makanan sejak lima tahun lalu tidak pernah terikat dengan apa-apa hubungan cinta.

"Ketika awal perkenalan, saya beritahu dia bahawa biarlah kita saling mengenali antara satu sama lain tanpa terikat dengan apa-apa hubungan. Itu disebabkan pada ketika itu, saya masih lagi fobia dan trauma juga memandangkan saya pernah melalui proses penceraian dalam rumah tangga.

"Saya beritahu kepada dia, andai kata sepanjang tempoh perkenalan kami itu, ada sesiapa yang 'singgah' atau berjodoh, kami terbuka untuk terima. Namun, saya tak sangka bahawa dia benar-benar bersungguh untuk mengahwini saya.

"Jadi, pada Oktober tahun lalu, dia melamar saya dan sepanjang beberapa bulan ini, kami membuat persiapan untuk majlis perkahwinan walaupun tempohnya agak singkat. Memang agak kelam kabut, tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai usaha Farizat yang berjaya menambat hati Syura, penyanyi lagu Candak itu berkata, dia melihat keserasian antara Farizat dengan tiga cahaya matanya.

"Sebagai ibu tunggal, tentunya anak-anak akan sentiasa menjadi keutamaan. Usahanya yang paling saya nampak adalah, bagaimana dia mengambil hati dan menjaga anak-anak saya dengan penuh tanggungjawab. Anak-anak saya pun sangat selesa dengan suami. Jadi, itulah yang membuatkan saya terbuka hati," katanya.

Berkongsi pengalamannya bersanding untuk perkahwinan kedua itu, Syura berkata, pengalamannya sangat berbeza.

"Kalau dahulu, persiapan untuk bersanding itu berbeza kerana belum ada anak-anak. Sekarang, persiapan untuk majlis persandingan bukan untuk saya dan suami sahaja, tetapi juga ada persiapan untuk anak-anak. Mujurlah, ramai orang di sekeliling saya yang banyak membantu.

"Jadi, majlis resepsi yang berlangsung semalam bukanlah untuk meraikan saya dan suami saya sahaja, tetapi juga untuk meraikan anak-anak," katanya.

Syura yang juga bekas juara MasterChef Selebriti musim kedua selamat diijabkabulkan dengan tiga kali lafaz dalam majlis yang dihadiri 30 ahli keluarga kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menerima mas kahwin berupa jongkong emas 1.5 gram.

Wang hantaran dipersembahkan dalam bentuk set barangan kemas yang tidak dinyatakan nilainya. Syura juga menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada suaminya.

Terdahulu, Syura dan bekas suaminya iaitu Mohd Fadhly Md Yassin berkahwin pada 16 April 2006 sebelum berpisah pada Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:46 PM