Nia dan suami ketika mendengar keputusan hakim.
Nia dan suami ketika mendengar keputusan hakim.
Agensi

Jakarta: Pelakon Indonesia Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie dijatuhi hukuman penjara setahun, semalam akibat kesalahan dadah.

Turut dijatuhkan hukuman sama ialah pemandu mereka, Zen Vivanto.

Hukuman itu diputuskan barisan hakim yang diketuai Ketua Hakim, Muhammad Damis di Pengadilan Negeri (PN) Jakarta Pusat, semalam.

"Hukuman yang patut dijatuhkan adalah hukuman penjara kerana Zen Vivanto, Nia Ramadhani dan Ardi Bakrie terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan kesalahan," kata Muhammad Damis seperti dilaporkan Kompas.

Sebaik mendengar keputusan itu, Nia juga popular menerusi watak Bawang Merah hanya menundukkan kepala dan menitiskan air mata sambil suaminya hanya mampu memandang isterinya yang sedang menangis.

Tidak hanya Nia, ahli keluarga dan sahabat termasuk pengurus pelakon itu turut menangis sebaik hukuman dibacakan.

Terdahulu, Nia, Ardi dan pemandu mereka diarahkan menjalani proses pemulihan di sebuah pusat RSKO Cibubur selama 12 bulan.

Namun, mereka sempat menjalani pemulihan selama lima bulan di pusat pemulihan, Fan Campus, Cisarua, Jawa Barat.

Terdahulu, pemandu peribadi pasangan itu ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 0.78 gram pada pertengahan tahun lalu.

Penangkapan itu membawa kepada penahanan Nia yang ketika itu dipercayai sedang melakukan aktiviti membabitkan penggunaan syabu.

Ardi, kemudiannya datang menyerah diri di balai polis pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 12:35 PM