Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Rosyam Nor berharap kemunculannya dalam filem aksi Hong Kong, G Storm akan memperkenalkan namanya dalam kalangan peminat filem berbangsa Cina di negara ini.

Rosyam ketika ditemui berkata, sejak poster dan video promosi filem G Storm disiarkan di YouTube, dia mula menerima reaksi positif daripada masyarakat Cina.

"Selepas muncul dalam filem Kabali sebelum ini, saya mula dikenali oleh masyarakat India di Malaysia. Selepas muncul promosi filem G Storm ini, banyak liputan saya terima bukan sahaja daripada media berbahasa Melayu, tetapi juga media Cina.

"Saya berharap agar kemunculan saya dalam filem ini akan mengukuhkan lagi jenama Rosyam Nor sekali gus memperkenalkan lagi nama saya kepada penonton filem dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Antara reaksi paling mengejutkannya adalah apabila ditaja 19 pam air (waterjet) oleh seorang pemilik kedai menjual peralatan pembersihan, baru-baru ini.

"Saya ada menyalurkan bantuan untuk mangsa banjir. Jadi, saya keluar mencari 'waterjet' untuk kerja-kerja pembersihan. Tak sangka pula, pemilik kedai yang menjual peralatan pembersihan itu kenal saya. Jadi, dia menaja 19 'waterjet' secara percuma dan saya dapat gunakannya untuk membantu mangsa-mangsa banjir bagi membersihkan kediaman mereka yang terjejas," katanya.

Katanya, dia juga berharap apa yang dilakukannya dalam menjaga jenama dan namanya dapat dicontohi pelakon-pelakon generasi baharu.

"Saya menjaga dan berniaga 'nama' saya. Saya ingin mengajak adik-adik saya yang berada dalam industri supaya bersama-sama menjaga nama mereka untuk terus kekal dalam pasaran industri seni tanah air," katanya.

Filem G Storm turut dibintangi barisan pelakon hebat Hong Kong antaranya Louis Koo, Julian Cheung, Kevin Cheng dan ramai lagi. Ia akan ditayangkan di pawagam bermula Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 2:52 PM