Fadzil Teh
Fadzil Teh
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kami masih dihentam!"

Itu kata penerbit, Fadzil Teh ketika diminta mengulas mengenai isu stesen TV yang meletakkan syarat mahukan pelakon dengan jumlah lebih sejuta pengikut di media sosial yang sekali lagi menjadi bualan sejak beberapa hari lalu.

Fadzil berkata, pihaknya juga tidak terkecuali daripada dihentam beberapa pelakon, namun terpaksa akur dengan kehendak stesen TV memandangkan mereka mengeluarkan kos.

"Pihak kami menghasilkan drama untuk stesen TV dan platform penstriman. Itu memang menjadi syarat yang diletakkan oleh mereka. Contoh mudah, kalau nak berkahwin ada syarat-syaratnya dan sama juga seperti urusan ini.

"Pihak stesen TV meletakkan syarat untuk mengambil pelakon dengan jumlah pengikut melebihi sejuta di media sosial. Kami sebagai penerbit perlu akur kerana mereka (stesen TV) yang keluarkan duit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebagai penerbit, dia melihat golongan artis terdiri daripada dua kelompok.

"Kelompok pertama adalah artis-artis popular dan satu lagi kelompok adalah artis-artis yang suka menghentam orang. Kelompok kedua ini kebanyakannya tak mahu 'mesra' di media sosial.

"Saya gelarkan mereka yang suka menghentam ini sebagai artis berhaluan kiri yang hanya ingin menjual bakat semata-mata, tapi tak mahu menitikberatkan beberapa aspek lain contohnya penampilan dan interaksi di media sosial," katanya.

Isu ini timbul semula sejak beberapa hari lalu apabila ada beberapa artis terkenal tanah air menyuarakan pendapat mereka antaranya pelakon dan pengacara, Nabila Huda.

"Kalau beginilah, kita pula akan bagi syarat, bayaran yang dibayar harus kena ikut pengiraan kepada jumlah pengikut. Lebih sejuta pengikut, maknanya kau kena bayar ikut jumlah yang sepatutnya. Apa pun, kerja lebih ada caj tersembunyi. Mampu tak nak bayar?" tulisnya dalam satu ciapan di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:32 PM