FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Gegak-gempita industri seni tanah air sepanjang minggu lalu dengan isu hangat berkenaan jumlah pengikut atau follower di Instagram yang seakan-akan menjadi syarat utama berlakon sekarang.

Segala-galanya bermula apabila penerbit terkenal, Fadzil Teh mempertahankan keputusan stesen TV berasaskan penstriman yang menetapkan syarat pelakon yang ingin muncul dalam saluran itu perlu mempunyai jumlah pengikut atau follower lebih satu juta di Instagram.

Fadzil mengakui syarikat penerbitannya menyambut baik perkara itu kerana secara tidak langsung menggalakkan peminat artis berkenaan memuat turun dan menonton kandungan disediakan dalam saluran itu.

Dia turut mempunyai alasan sendiri di mana kewujudan saluran TV berasaskan penstriman ini sedikit sebanyak memberi peluang penggiat industri kita untuk mengembangkan karya tempatan ke luar negara kerana saluran terbabit berasal dari luar negara.

Bagi Fadzil ia mungkin perkara biasa, namun ironinya agak sukar untuk seseorang penggiat seni di negara kita mempunyai pengikut sebanyak satu juta.

Kalau dilihat, hanya segelintir artis merangkumi penyanyi dan pelakon mempunyai jumlah pengikut lebih dari satu juta. Mereka ini dikira bertuah.

Yang selebihnya pula ialah individu yang tampil dengan aksi gila-gila, mempunyai rupa paras cantik atau tampan dan dikenali sebagai pempengaruh atau Instafamous.

Penulis tidak menafikan mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri dan mempunyai lebih satu juta pengikut dan akhirnya menjadi pilihan untuk berlakon.

Namun, pilihan ini yang kadangkala merosakkan industri kita kerana bakat lakonan mereka kurang menyerlah dan meyakinkan.

Mujur Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa amat cakna dengan isu ini.

Sebagai timbal balas kenyataan Fadzil, Annuar menerusi ciapan di Twitter meminta peluang perlu diberikan baik kepada pelakon yang baharu masuk dengan satu juta pengikut ataupun mereka yang berbakat tanpa pengikut di media sosial.

Tindakan itu katanya, bertujuan untuk memeriahkan dan menaikkan mutu produksi kita.

Bukan saja penulis, kenyataan ini amat dialu-alukan oleh semua pihak yang terbabit dalam industri.

Kalau ditelitikan, kita mempunyai ramai barisan pelakon berbakat. Namun, dek kerana syarat tidak masuk akal yang dikenakan, secara perlahan-lahan boleh membunuh industri lakonan kita pada jangka panjang.

Isu ini juga tidak kurang mendapat perhatian pelakon terkenal seperti Nam Ron yang memuat naik dua gambarnya tidak berbaju di Instagram dan Twitter sebagai sinikal mengenai 'strategi' yang dilakukannya untuk menyahut cabaran stesen TV yang mahukan pelakon dengan sekurang-kurangnya satu juta pengikut di media sosial.

Penulis juga bersetuju dengan pandangan Datuk Rosyam Nor yang mahu peluang diberikan kepada semua orang termasuk mereka yang tidak mempunyai pengikut.

Menurutnya, kita memerlukan industri yang ada impak dari segi kualiti dan bukan hanya meriah.

Dalam masa sama, kita tidak meminggirkan pendatang baharu yang mempunyai pengikut yang ramai kerana itu juga satu platform pencarian kepada bakat baharu.

Apapun penulis gembira dengan kenyataan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof berkenaan isu ini.

Katanya, jumlah pengikut yang tinggi di media sosial bukan faktor utama dalam pemilihan pelakon untuk stesen mereka.

Media Prima sebaliknya mewujudkan banyak peluang bagi pengkarya seni untuk menyumbangkan idea kreatif dan menyerlahkan bakat mereka.

"Di Media Prima, kami mempunyai pelbagai slot drama yang memaparkan genre drama berlainan bagi memenuhi cita rasa dan kehendak penonton.

"Pemilihan pelakon yang bersesuaian dengan watak dan jalan cerita adalah atas perbincangan bersama antara pihak stesen TV dan produksi," katanya.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 7:00 AM