Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengarah, pelakon, dan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim, 48, berbesar hati akhirnya dapat menghadiri penyampaian rasmi Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan di Istana Negara, jam 10 pagi, hari ini.

Yusry menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah RiƔyatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.

"Penganugerahan ini bersempena Hari Wilayah 2021 tempoh hari. Ia kerana majlis tertunda selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika itu.

"Ini anugerah yang sama untuk penerimaan gelaran Datuk itu. Cumanya majlis baharu dapat diadakan pada hari ini," katanya.

Terdahulu, Yusry berkongsi hantaran menyatakan rasa syukurnya terhadap pencapaian itu di Instagram. Turut hadir menemani beliau adalah isterinya Datin Lisa Surihani.

Pada Hari Wilayah 1 Februari lalu, pengarah terbabit antara 335 penerima dipilih untuk penganugerahan itu. Tidak ketinggalan, Datuk Nora Ariffin serta Datuk Habsah Hassan.

Ketika itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.

Menurutnya, bagaimanapun tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:16 PM