Ernie Zakri
Ernie Zakri
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Ernie Zakri yang kini hamil enam bulan berharap persembahannya pada Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya, di sini, malam ini berjalan lancar.

Ernie berkata, selepas menjalani proses latihan selama tiga hari berturut-turut, dia mengakui cara persembahannya agak berbeza daripada kebiasaan, namun akan cuba lakukan yang terbaik.

"Kalau dulu saya boleh menyanyi semampu yang boleh tapi kali ini saya kena menyanyi ikut kemampuan kesihatan saya. Malah, selama tiga hari menjalani latihan saya sentiasa berjaga-jaga kerana mudah berasa penat walaupun turutan saya menyanyi sudah disusun cantik.

"Walaupun begitu, saya tidaklah rasa teruk atau tidak boleh menyanyi. Semuanya berjalan seperti yang dirancang dan harapnya konsert malam ini dipermudahkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ernie, sebagai individu yang berbadan dua, dia memerlukan rehat yang cukup dan bersyukur pihak produksi memberikan layanan yang terbaik kepadanya.

"Pihak produksi memberikan saya kelonggaran seperti tidak berada terlalu lama ketika proses latihan berlangsung. Jadual giliran persembahan disusun dengan baik dan saya ada masa untuk berehat.

"Saya juga bersyukur selama tiga hari proses latihan aspek pemakanan juga dijaga rapi. Pengurus saya sudah tahu apa makanan yang boleh dan tidak boleh untuk saya. Sejujurnya saya sudah tidak sabar untuk bertemu peminat selepas sekian lama tidak kembali bekerja. Ini adalah konsert yang saya tunggu-tunggu dan harap penonton akan terhibur,"katanya.

Selain Ernie, Konsert Patriotik Tanah Airku turut menampilkan persembahan daripada Syamel, Aina Abdul dan Fitri Hiswandy.

Selain itu, konsert terbabit turut dimeriahkan oleh kehadiran Hairi Safwan serta pendeklamasi puisi Ahmad Shukri Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 3:16 PM