Tony Eusoff (kiri) melakonkan watak Father Micheal dan Zul sebagai Ustaz Amir.
Tony Eusoff (kiri) melakonkan watak Father Micheal dan Zul sebagai Ustaz Amir.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengarah, Syafiq Yusof berdepan cabaran baharu dalam filem arahannya, Penunggang Agama 2 apabila memaparkan elemen berlainan agama.

Syafiq, 29, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Mohd Yusof berkata, biarpun filem itu berskala kecil yang ditayangkan di saluran Astro First, dia tetap perlu memberikan kelainan.

"Untuk Penunggang Agama 2, walaupun ia filem berskala kecil, saya harus tunjukkan kelainan. Jadi, untuk sekuel filem Penunggang Agama ini, saya ketengahkan elemen berlainan agama. Malah, saya belum nampak lagi dalam filem kita.

"Diakui, ia agak mencabar tapi perlu berhati-hati. Saya minta juga pendapat ustaz dari perspektif Islam. Bagi agama Kristian, saya bercerita situasi jalan cerita dan dapatkan kebenaran paderi di gereja di Cameron Highlands tempat kami menjalani penggambaran," katanya.

Syafiq yang ditemui pada sesi temubual filem Penunggang Agama 2 bersama media berkata, dia berharap perkara itu tidak dijadikan kontroversi kerana ia tidak dipaparkan secara terperinci.

"Saya berhati-hati dalam penceritaan dan skrip. Saya tak buat terlalu terperinci mengenai agama dan kitab, tapi lebih kepada visual saja. Hanya dua dialog dipotong, tapi bagi saya memadai dan okay," katanya.

Penunggang Agama 2 arahan Syafiq Yusof ini menampilkan pelakon seperti Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Tony Eusoff, Salina Saibi, Johan As'ari, Datuk Rahim Razali, Anna Jobling, Puteri Nurqaseh, Burhan Sidqi dan Sharifah Aisyarha.

Filem ini akan menemui penonton di saluran Astro First bermula 19 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 4:47 PM