SYAFIQ Kyle
SYAFIQ Kyle
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Syafiq Kyle yang baru pulang mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini mengakui menyelitkan doa berkenaan hubungannya dengan Mimi Lana ketika di Tanah Suci.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 31, berkata, hubungannya dengan Mimi hanya sekadar rakan namun menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

"Apabila ada pengharapan dalam hati ramai, saya harap sulamkan dengan doa. Saya pun memang tak berhenti berdoa di Tanah Suci.

"Saya pun bukan individu yang layak untuk beri kata putus tentang semua yang terjadi. Masing-masing pun dapat melihat dan untuk menghakimi pun terpulang pada masing-masing.

"Apa yang boleh cakap ialah setakat itu sahaja. Alhamdulillah kami masih berbaik dan berkawan. Untuk kata lebih pun tak berani," katanya pada majlis tayangan perdana filem Sheriff di sini, kelmarin.

Ditanya mengenai kehadiran Mimi pada majlis tayangan perdana itu, Syafiq sekali lagi meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.

"Masya-allah Alhamdulillah. Antara salah satu doa yang saya minta di Tanah Suci ialah hubungan dengan semua termasuk keluarga dan Mimi.

"Teruskan berdoa. Kalau saya yang pegang 'button' makbul itu mesti saya makbulkan tapi bukan saya yang pegang.

"Kita manusia, saya pun bukannya matang dan pandai sangat untuk bercakap, saya hanya boleh reda, terima dan teruskan sokong," katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam filem Sheriff, Syafiq berkata, dia seronok membawakan watak anggota polis bernama Naz.

"Ketika ditawarkan berlakon filem ini saya agak skeptikal dengan watak yang ingin dibawakan sebab sebelum ini pernah bawa watak anggota polis.

"Tapi selepas pengarahnya Syafiq Yusof menerangkan secara terperinci mengenai karakter saya dalam filem ini, saya terus terima sebab ia sangat berbeza dan saya tak pernah buat," katanya.

Selain Syafiq, filem ini turut dibarisi pelakon hebat lain seperti, Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Filem terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara dan Singapura bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:27 PM