GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Rangkaian pawagam TGV Cinemas akan memulakan pembukaan semula mereka bermula esok di Kuala Lumpur, Klang, Cheras, Rawang, Kepong, Manjung, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.

Dua lagi pawagam TGV di Kinta City, Ipoh dan Taiping akan mula beroperasi pada 7 Oktober ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, TGV Cinemas mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami kini menguji SOP kami dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyambut kedatangan pelanggan ketika mereka kembali ke panggung wayang, bermula esok.

"Berdasarkan data penjualan, kami dapati ramai peminat filem atau kami gelar sebagai 'TGV Moviegoers' sudah membuat tempatan awal untuk beberapa filem. Antara yang paling popular ialah Black Widow dan No Time To Die," kata kenyataan itu.

Berkuatkuasa 9 September lalu, kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju untuk melonggarkan SOP Fasa 1 bagi industri kreatif.

Ini termasuklah aktiviti panggung wayang kepada individu yang lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 3:37 PM