GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Selepas dibuka kepada penonton sejak 23 September lalu, pawagam merima maklum balas mengujakan dan pelanggan berasa lebih tenang dan selamat.

Menurut Pengurus Awam Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargava, pelanggan berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan.

"Ramai teruja dapat kembali menonton wayang seperti sedia kala menerusi pengalaman menyeronokkan di skrin gergasi pawagam. 

"Kami juga mendapat maklum balas pencinta filem bahawa minda mereka lebih tenang. Ia berikutan persekitaran lengkap vaksin, SOP rapi, pembelian makanan dan minuman dalam talian, dan penjarakan tempat duduk.

"Kami turut mengumpul pengalaman pelanggan menerusi kaji selidik terperinci. Setakat ini, kebanyakan maklum balas adalah sangat berpuas hati dan mereka tenang untuk datang ke panggung wayang," katanya.

Mohit juga mendedahkan berlaku corak pembelian tiket yang menarik untuk filem ditayangkan termasuk tidak mahu terlepas ffilem pecah panggung dari Hollywood.

"Pada minggu pertama pembukaan, filem Black Widow, Jungle Cruise, dan Malignant menjadi pilihan utama. Kemudian Shang-Chi serta Dune menjadi popular pula sekarang," katanya.

Terdahulu, TGV Cinemas mengumumkan pembukaan semula mereka bermula esok di Kuala Lumpur, Klang, Cheras, Rawang, Kepong, Manjung, Melaka, Pulau Pinang dan Johor bermula 23 September lalu.

Berkuatkuasa 9 September lalu, kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju untuk melonggarkan SOP Fasa 1 bagi industri kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:53 PM