Panggung wayang dibenarkan beroperasi semula di beberapa negeri mulai esok. FOTO BERNAMA
Panggung wayang dibenarkan beroperasi semula di beberapa negeri mulai esok. FOTO BERNAMA
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Berita kebenaran pembukaan semula operasi panggung wayang melegakan pengusaha susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC), Koh Mei Lee berkata, mereka tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan pelanggan esok selepas operasi ditutup beberapa bulan.

"Kami sangat teruja diberikan 'lampu hijau' dan dapat membuka semula panggung wayang selepas tempoh yang lama. Kami tidak sabar menantikan kedatangan pelanggan serta penggemar filem.

"Kami berharap selepas jumlah kes Covid-19 menurun, kami akan dapat membuka semua panggung wayang dengan kapasiti penuh. Ia akan membantu untuk memulihkan semula perniagaan kami," katanya.

Mei Lee berkata, buat masa ini mereka meminta pelanggan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat menikmati keselesaan dan demi kebaikan bersama di panggung wayang.

Sementara itu, Pengurus Awam Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargaya berkata, mereka mahu meraikan pembukaan semula operasi panggung wayang dengan sajian filem-filem hebat.

"Susulan pengumuman itu, TGV Cinemas akan membuka semua panggung kecuali TGV Miri dan TGV Vivacity di Kuching, Sarawak. Kami ingin sajikan filem terbaik bermula esok sebagai mengalukan kehadiran semula penggemar filem," katanya.

Mohit berkata, antara filem baru yang ditayangkan ialah Raya and the Last Dragon, Monster Hunter, Master dan Anbirkiniyal.

TGV Cinemas juga akan membawa kembali beberapa filem lain seperti Wonder Woman 1984, The Rescue dan banyak lagi.

Kelmarin, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan panggung wayang akan dibenarkan untuk membuka operasi semula selepas pelaksanaan PKPB dan PKPP di beberapa negeri yang bermula esok.

Penutupan panggung wayang berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP menyebabkan sektor itu mengalami kerugian lebih RM400 juta dalam tempoh 10 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 11:44 AM