PENDAKWAH, Ustaz Hanafi.
PENDAKWAH, Ustaz Hanafi.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Kehadiran ramai 'influencer' atau pempengaruh muda dan selebriti yang menunjukkan minat untuk mendalami agama dengan menyertai jemaah tabligh dilihat sebagai satu perkembangan positif sekali gus mengubah landskap industri hiburan seni tanah air. 

Pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali Ustaz Hanafi berkata, dia memuji penghijrahan yang dilakukan golongan ini namun, berharap mereka tidak terlalu fanatik atau meninggalkan urusan dunia. 

"Alhamdulillah semakin ramai selebriti dan 'influencer' yang bersama jemaah tabligh. Mereka ini ingin mendalami ilmu dan belajar hidup agama. Ada yang keluar tiga hari, 40 hari serta empat bulan. 

"Bagi saya, ini adalah satu perkembangan terbaharu di tanah air apabila mereka ingin berubah ke arah kebaikan. Apa yang dilakukan ini tak salah, malah dilihat satu perkembangan baik. 

"Cuma nasihat saya jangan terlalu fanatik atau meninggalkan urusan dunia. Tapi sejak kebelakangan ini jemaah tabligh sudah ada kaedah untuk memastikan jemaahnya tidak sampai tak keluar bekerja, macam dulu. 

"Kini mereka akan meminta untuk sesiapa yang ingin menyertai jemaah tabligh untuk selesaikan urusan kerja serta lengkapkan keperluan dan tanggungjawab terhadap keluarga. Golongan artis ini juga ada bimbingan daripada ustaz bertauliah supaya mereka terus berkarier tetapi mengislamkan industri seni tanah air," katanya. 

Hanafi juga berpesan kepada mana-mana pihak yang mempunyai niat tidak baik seperti menganggap golongan selebriti dan 'influencer' tidak mampu bertahan dalam perjuangan ini agar tidak berkata begitu. 

"Hidayah milik Allah. Istiqamah bergantung kepada kekuatan individu untuk bertahan. 'Influencer' muda dan artis yang masuk dalam dunia tabligh mereka mungkin mempunyai ketahanan yang luar biasa. 

"Bagi mereka yang mengatakan golongan ini tidak bertahan lama, siapa kita untuk bercakap begitu. Jangan jadi Tuhan untuk mengatakan mereka tidak bertahan lama. Kadang-kadang Allah tidak pernah melihat masa silam seseorang, tapi Allah melihat apa yang seseorang itu lakukan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. 

"Orang yang suka komen dan suka kecam dengan kejam, Insha-Allah jangan bersikap begitu sebab yang sebaiknya sebagai orang luar kita mendoakan kebaikan bagi artis-artis dan 'influencer' ini terus istiqamah berada dalam agama,"katanya. 

Dalam masa sama, Hanafi turut menitipkan pesanan kepada golongan selebriti dan 'influencer' muda yang menyertai jemaah tabligh untuk mendekati agama supaya tidak 'tergelincir' daripada landasan sebenar. 

Kebelakangan ini ramai selebriti dan 'influencer' muda menunjukkan minat mendalami agama. Antaranya ialah pelakon Yusuf Bahrin, Harris Annuar, Harris Alif, Zul Ariffin, Nabil, Aliff Aziz, Sufian Suhaimi, Edaman Othman, Safwan Nazri dan ramai lagi. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:38 PM