NANA Mahazan (kiri), Zizi Kirana, dan Izara Aisyah.
NANA Mahazan (kiri), Zizi Kirana, dan Izara Aisyah.
Najiy Jefri

Istiqamah bukan sesuatu yang mudah sekiranya kita tidak benar-benar menghayatinya.

Jika tidak teguh dengan pendirian yang dilakukan pasti akan berhadapan ujian dan cabaran.

Namun, jika seseorang itu mampu teguh dengan pilihan yang dilakukan, insya-Allah dia bakal menjadi insan lebih baik di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita serta terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang dijanjikan kepada kamu." (Surah Fussilat ayat 30)

Ayat di atas memberi gambaran betapa Allah SWT tidak mahu melihat diri hamba-Nya untuk bersedih jika berlaku musibah ke atas dirinya, tetapi meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa Allah SWT akan memberi khabar gembira bagi mereka yang terus tetap teguh (terus istiqamah) dalam menjalankan amal ibadah sehingga mendapat syurga.

Melihat senario hari ini yang menyaksikan ramai selebriti atau influencer yang menunjukkan minat untuk mendalami agama dengan menyertai jemaah tabligh dilihat sebagai satu perkembangan positif, sekali gus mengubah landskap industri hiburan seni tanah air.

Malah, langit industri hiburan turut menyaksikan ramai selebriti wanita turut mendekatkan diri dengan agama demi mencari keredaan Allah SWT.

Nama seperti Nana Mahazan, Zizi Kirana, Farah Nabilah dan Izara Aisyah kini tampil berhijab sepenuhnya.

Penulis mahu memetik semula apa yang dikongsikan pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali Ustaz Hanafi yang memuji penghijrahan yang dilakukan golongan ini, namun menitipkan pesanan kepada golongan selebriti supaya tidak 'tergelincir' daripada landasan sebenar.

Tergelincir daripada landasan sebenar yang dimaksudkan adalah meninggalkan apa yang mereka lakukan sekarang secara total hingga menyebabkan sedikit terjejas dari sudut ekonomi.

Menerusi perkongsian itu, Hanafi bimbang jika mereka jatuh miskin nanti atau hidup susah mereka akan meninggalkan jemaah tabligh dan kemungkinan besar mereka tidak lagi mengamalkan ajaran Islam sebab kemiskinan itu menghampiri kekufuran.

Apa yang dikongsikan Hanafi cukup jelas apabila setiap apa yang ingin dilakukan, jalani perubahan dengan sederhana dan seimbang supaya dapat jalani kehidupan seperti biasa, namun kini ke arah yang lebih baik.

Istiqamah adalah hadiah yang paling besar bagi mereka yang tetap dengan pendirian untuk meneruskan amalan yang baik. Orang yang benar-benar istiqamah dan tidak putus asa berharap keampunan daripada Allah akan menerima kemenangan yang sebenar.

Justeru, penulis mengingatkan kepada golongan selebriti yang kini berubah ke jalan yang lebih baik supaya tetapkan niat untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaiki diri dan meninggalkan segala kejahatan.

Jangan perubahan yang dilakukan hanya untuk paparan di sosial media semata-mata. Perlu diingat penghijrahan yang dilakukan ini adalah untuk saham di akhirat kelak.

Pujian daripada manusia tidak akan membuatkan kita masuk dalam syurga, sebaliknya ia adalah satu bentuk ujian untuk pastikan kita terus kuat menghadapi perkara itu.

Selain itu, jangan terlalu berlebih-lebihan menunjukkan perubahan yang dilakukan di media sosial. Seelok-eloknya teguhkan keimanan diri terlebih dulu sebelum mendedahkannya kepada umum.

Hidayah tidak mungkin dapat diperoleh dengan sekelip mata, tetapi perlu terus merintih dan memohon daripada Yang Maha Esa supaya diberikan jalan yang lebih baik untuk menuju syurga.

Pada masa sama, penulis juga ingin berpesan kepada netizen supaya tidak juga mempunyai tanggapan tak baik seperti menganggap golongan selebriti atau influencer tidak mampu bertahan dalam perjuangan ini.

Kita perlu sedar bahawa kita ini hanya insan kerdil dan tidak layak untuk membuat andaian golongan selebriti tidak mampu bertahan lama.

Soal mampu terus istiqamah atau tidak hanya Allah SWT yang tahu. Jangan kita sibuk mencari salah sedangkan diri kita belum cukup sempurna.

Seelok-eloknya kita mendoakan supaya mereka sentiasa dalam rahmat-Nya.

Tuhan juga tidak melihat seseorang itu daripada masa silamnya, tetapi Dia melihat apa yang dilakukan untuk terus mendekatkan diri kepada-Nya.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 7:00 AM