ZALIF baharu selesai jalani penggambaran drama bersiri Misteri Horror Drama.
ZALIF baharu selesai jalani penggambaran drama bersiri Misteri Horror Drama.
Syafil Syazwan Jefri


PANDEMIK Covid-19 membuka mata ramai individu untuk menghargai rezeki dan pada sama, membuka mata kita semua untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan memerlukan.

Bagi pelakon, Zalif Sidek walaupun dia masih mampu bertahan dalam pandemik ini, namun dia tidak menolak perasaan sayu saat melihat beberapa sahabat dan kenalan yang terkesan.

"Kalau untuk saya secara peribadi yang masih bujang, mungkin saya masih boleh bertahan dengan sedikit simpanan. Tapi, saya melihat situasi yang berlaku secara lebih luas.

"Ada rakan-rakan saya terutama yang bekerja sebagai kru produksi memang sangat terkesan dengan situasi yang berlaku hari ini," katanya.

Menurutnya, ada rakan-rakan yang menghubunginya dan meluahkan mengenai kesulitan yang mereka alami.

"Ada rakan-rakan kru yang sudah berkeluarga, mereka menghantar mesej di Instagram dan mengharapkan ada sedikit sumbangan.

"Kebanyakan mereka sudah bekerja belasan tahun sebagai kru produksi dan pendapatan mereka bergantung kepada kerja yang ada. Saya sendiri pun rasa pilu juga dengan situasi yang berlaku," katanya.

Berkongsi mengenai situasi pandemik dan aktiviti penggambaran di luar yang belum dibenarkan, Zalif tidak menolak bahawa dirinya turut terkesan.

"Secara kasarnya, memang apa yang berlaku menjejaskan karier saya. Impaknya besar secara keseluruhan kerana kita masih tak dibenarkan menjalani penggambaran di luar.

"Kalau produksi yang menjalani penggambaran secara tertutup (indoor), itu kelebihan untuk mereka, tapi bila dalam studio, jumpa orang yang terbabit juga tak boleh terlalu ramai.

"Saya pula banyak menjalani penggambaran di luar. Jadi, ada beberapa kekangan dan ada juga projek yang terkandas," katanya.

Menurutnya, dia kini membantu mengusahakan perniagaan keluarganya secara sambilan.

"Pendapatan saya sekarang bergantung kepada perniagaan keluarga saya di samping ada beberapa projek yang saya buat di media sosial dan YouTube.

"Alhamdulillah, ada juga beberapa tawaran untuk berlakon dalam iklan dan sedikit sebanyak, bayaran kerja itu dapat juga menampung bayaran komitmen saya," katanya.

Terbaru, Zalif baharu sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri Misteri Horror Drama.

"Untuk drama ini, saya hanya terbabit dalam satu episod. Penggambarannya dijalankan di Perak dan saya bergandingan dengan beberapa artis lain antaranya Ara Johari dan Didi Astillah.

"Selain itu, akan ada beberapa filem membabitkan saya selepas ini antaranya Tantiana, Daddy Ku Gengster dan Kak Yong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:47 AM