ANTARA babak menarik dalam Selipar Jepun Stileto Merah arahan Hashim Rejab.
ANTARA babak menarik dalam Selipar Jepun Stileto Merah arahan Hashim Rejab.
BAGAI mini reunion bagi Ryzal, Adeline dan Zalif apabila berlakon dalam Selipar Jepun Stileto Merah.
BAGAI mini reunion bagi Ryzal, Adeline dan Zalif apabila berlakon dalam Selipar Jepun Stileto Merah.
Oleh Amirul Haswendy Ashari

JIKA pada 2010 ada filem Semerah Cinta Stiletto arahan Ahmad Idham, kini muncul Selipar Jepun Stileto Merah arahan Hashim Rejab.

Ternyata drama bersiri 30 episod untuk saluran 116 Hypp TV ini diangkat dari filem lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani. Ia turut dijayakan Ryzal Jaafar, Shima Anuar, Adeline Tsen, Zalif Sidek dan Fadlan Hazim.

Rata-rata mereka mengenali satu sama lain dan gembira apabila digandingkan kembali. Ryzal teruja kerana disatukan kembali dengan beberapa rakan lain seperti Adeline dan Zalif.

Katanya, dia pernah menjayakan drama Hotel Mania dengan Adeline pada 2010 manakala dengan Zalif berkawan baik apabila menguruskan kerjayanya ketika berada di bawah pengurusan KRU.

"Ia seperti mini 'reunion' apabila saya, Adeline dan Zalif kembali ke set penggambaran. Malah, pengarah Hashim Rejab juga 'cool' dan mudah dibawa berbincang.

"Dia menerima sebarang bentuk idea untuk memantapkan jalan cerita. Watak Letto yang saya bawakan ini pun mudah walaupun berbeza dengan watak lain yang pernah saya bawa sebelum ini," katanya.

Kata Ryzal, lebih menarik apabila drama ini memberi peluang kepadanya bekerja kali pertama dengan Shima Anuar dan Hashim.

"Setakat ini, produksi ini sangat terurus dan saya selesa bekerja dengan mereka. Cuma seperti biasa, dalam mana-mana produksi saya selalunya lambat nak 'panas'.

"Ada yang kata saya sombong tapi jujurnya saya pemalu dan ambil masa untuk sesuakan diri dengan sesiapapun yang saya baru kenal.

"Namun begitu, selepas hampir tiga bulan menghabiskan masa masa bersama di set penggambaran, saya dan barisan kru mula selesa," katanya.

Adeline turut gembira dapat bersama teman lama dalam satu set penggambaran. Bersiaran bukan di saluran televisyen biasa yang sinonim dengan drama bersiri popular tempatan, kata Adeline, ia bagus untuk karyawan seni pamerkan bakat.

Katanya, melalui saluran televisyen baru seperti Unifi, karyawan mempunyai lebih banyak ruang untuk berkarya selain stesen sedia ada.

"Tidak seperti stesen televisyen lain, di sini hampir semua pelakon baru dan lama boleh bekerja dengan selesa dan bebas. Masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk berlakon.

"Ia satu ruang baru untuk karyawan tempatan meneroka serta mengintai peluang baru," katanya.

Shima pula akui berlakon dalam saluran drama yang masih asing pada awalnya membuat dirinya skeptikal, malah tertanya-tanya 'siapa akan tengok?'.

"Namun, saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan yang saluran itu mula mendapat perhatian pelanggan Unifi. Malah, telefilem Jangan Ambil Nyawaku lakonan saya dan Iqram Dinzly pernah disiarkan di saluran itu dan mendapat rating tinggi.

"Dari situ saya tahu, sebenarnya ramai yang melanggan. Jadi, tidaklah saya risau sangat," kata pelakon filem Nasi Tangas dan Highland Tower itu.

Katanya, dengan pertambahan saluran untuk drama tempatan, ia memberi peluang kepada pelakon lain yang jarang menjadi pilihan stesen televisyen swasta lain untuk berkerja.

Antara dikongsi Shima ialah perbualannya dengan Delimawati yang gembira kerana wujudnya saluran baru membuka peluang dan ruang untuk pelakon tempatan sepertinya.

Memegang watak Stella dalam drama ini, Shima akui cabaran utama ialah mengembang­kan watak dari satu peringkat ke peringkat lain.

Katanya, Stella berubah mengikut kematangan watak, bermula dari zaman kolej yang gila-gila sehingga karakter matang apabila berumah tangga.

"Saya juga perlu membawa watak yang perlu permainan emosi yang dalam kerana Stella berdepan dugaan kematian keluarga dan anaknya.

"Drama ini mempunyai jalan cerita yang lengkap dengan pelbagai emosi, daripada komedi sehinggalah kepada drama tragis yang diharap mendapat perhatian penonton," katanya.

Hashim yang pernah mengarah filem Budak Pailang, Longkai dan Nasi Tangas gembira memikul tanggungjawab menghasilkan drama bersiri 30 episod ini.

Katanya, selama bekerja dengan barisan pelakon, tidak timbul masalah walaupun ada antara mereka kali pertama bekerja di bawah pengarahannya.

"Saya gembira kerana mereka saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Cuma cabaran dihadapi sepanjang pembikinan drama ini ialah faktor cuaca yang tidak menentu dan lokasi penggambaran yang kadangkala tidak kena dengan babak.

"Ada babak yang perlukan pelakon meluahkan rasa marah dan beraksi lebih, tapi disebabkan sensitiviti lokasi seperti dalam hospital, babak itu terpaksa 'tone-down' untuk menghormati pesakit," katanya.

Penggambaran drama ini dilakukan di sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Melaka, dijangka tamat awal Januari depan.

Drama ini bermula dengan penceritaan ringan dan diselit komedi situasi untuk memberi sedikit keselesaan serta pengenalan kepada penonton. Namun sebaik saja terarah ke pertengahan jalan cerita, babak akan mulai berat dengan emosi dan tragis.

Drama Selipar Jepun Stileto Merah mula bersiaran sejak 17 Disember lalu pada Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Saluran 611, Hypp TV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:02 AM