NISHA Dirr.
NISHA Dirr.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Nisha Dirr, 38, dan suaminya Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil, 37, gembira impian untuk menimang cahaya mata lelaki akhirnya menjadi kenyataan.

Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri'ah Nik Dir yang pernah membintangi drama Spa Q berkata, dia selamat melahirkan bayinya, Jumaat lalu.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas keberkatan dan rahmatnya atas kelahiran anak kami pada 6 Ogos lalu dengan berat 3.25 kilogram.

"Sempena kelahiran pada hari Jumaat, kami memberikannya nama Tengku Ayden Alauddin. Ayden bermaksud berpendidikan, kebijaksanaan dan intelektual, manakala Alauddin membawa maksud ketinggian dan kemuliaan agama.

"Kami mengiringi doa semoga Tengku Ayden Alauddin menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada agama, keluarga dan bangsa," katanya.

Terdahulu, doktor menjangka Nisha akan bersalin pada 7 Ogos, namun memintanya bersedia kerana mungkin akan bersalin pada bila-bila masa.

Nisha dan Tengku Kamarul mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu selepas beberapa bulan bercinta.

Pasangan itu tidak menunggu lama untuk berkahwin selepas kedua belah keluarga merestui perhubungan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:21 PM