Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Saya rasa dunia ini macam sesepi-sepinya,".

Itu kata bapa kepada penyanyi, Allahyarham Siti Sarah, Raissuddin Hamzah berkongsi detik-detik dimaklumkan mengenai pemergian anaknya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Raissuddin yang turut serta dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk anaknya berkata, dia hilang kata-kata apabila dimaklumkan oleh menantunya, Shuib.

"Shuib datang berjumpa saya. Dia datang dengan senyuman. Dia melutut di depan saya dan dia kata, Siti dah tak ada.

"Apabila berlakunya perkara ini, saya tak berkata apa-apa. Saya tak tahu nak kata apa," katanya.

Raissuddin Hamzah
Raissuddin Hamzah

Dia yang menamatkan proses kuarantin kendiri pada hari ini reda dengan ketentuan Allah.

"Apa yang berlaku adalah satu ketentuan yang ditetapkan oleh Allah. Bukan rancangan kita atau sesiapa. Ini yang dikatakan takdir," katanya.

Raissuddin juga memohon agar semua mendoakan kesejahteraan anaknya.

"Marilah kita sama-sama doakan dia. Doakan agar dia tenang di sana. Kita cuma hanya dapat mengenang, tapi dia takkan kembali," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 12:07 AM