Shahrulezad.
Shahrulezad.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin kecewa dengan tindakan seorang pelakon wanita yang suka membuka pekung dan aib mengenai apa yang berlaku di lokasi penggambaran menerusi platform media sosial, TikTok.

Shahrulezad berkata, dia sendiri tidak faham apakah motif pelakon itu berbuat demikian.

"Dia nak bercerita mengenai pengalamannya di TikTok tak jadi masalah. Namun, sejak kebelakangan ini saya tengok dia makin galak pula menceritakan perkara tidak elok berlaku di lokasi semata-mata untuk meraih 'like'," katanya.

Menurut Shahrulezad, dia tidak faham apa motif pelakon bercerita perkara tidak baik mengenai rakan pelakon dan pengarah kepada umum.

Katanya, tindakan pelakon itu membuat ramai rakan penggiat seni akan menjauhkan diri kerana mulutnya yang terlalu lancang.

"Sebagai penerbit dan pengarah, saya takut artis seperti awak ada di set penggambaran kami yang tak sempurna. Nanti, esok lusa awak akan menjaja kekurangan atau aib kami kepada semua," katanya.

Menurutnya, tindakan pelakon itu membuatkan industri hiburan yang sering dipandang serong akan menambah lebih banyak persepsi buruk daripada masyarakat.

"Kalau kemaruk nak buat kandungan sekali pun, carilah benda yang mendatangkan faedah kepada semua. Bukannya dengan cara mendedahkan aib yang kalau boleh kita semua nak tutup," katanya.

Shahrulezad juga menggambarkan pasukan produksi dan penggiat seni dalam industri hiburan umpama sebuah keluarga besar dan saling menjaga aib masing-masing.

"Semua keluarga ada aib masing-masing. Apa perasaan anda kalau ada salah seorang ahli keluarga anda sejenis suka mendedahkan aib keluarga kepada orang? Mesti anda tak suka, kan?" katanya.

Bagaimanapun, Shahrulezad enggan mendedahkan nama pelakon wanita itu.

Terdahulu, Shahrulezad menerima banyak kiriman video mengenai celoteh lantang pelakon itu di TikTok yang menggambarkan seolah-olah banyak perkara tidak kena di matanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 2:32 PM