THE EXPIRED mahu album keempat menjadi penerus legasi muzik mereka kepada peminat.
THE EXPIRED mahu album keempat menjadi penerus legasi muzik mereka kepada peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK keterlaluan dikatakan kumpulan The Expired adalah legenda di dalam scene muzik hardcore punk Kuala Lumpur.

Justeru, berita mereka akan tampil dengan EP terbaharu yang akan dilancarkan bulan depan pastinya dinantikan peminat.

The Expired yang dianggotai Papa (penyanyi), Julian (gitar), Nanai (gitar), Roi (bass) dan Bakri (dram) ditubuhkan pada 1995.

Sebelum itu selain Papa, ia dianggotai Sumpix (gitar), Charlie (bass) dan Man Spex (dram).

Bangunan Medan Mara bersebelahan Kompleks Pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menjadi tempat mereka berkumpul ketika itu.

Muzik mereka kuat dipengaruhi kumpulan punk Britain era 80-an seperti The Exploited.

The Expired juga pernah tampil dengan dua album studio pada 1996 dan 1997 serta album kompilasi 3 in 1 pada 1998.

Pada 2002, The Expired merakam album keempat, namun 'master' album yang mempunyai 16 track itu hilang sebelum sempat dikeluarkan.

TAMPIL dengan EP terbaharu bakal dilancarkan bulan depan pertaruhkan empat lagu baharu.
TAMPIL dengan EP terbaharu bakal dilancarkan bulan depan pertaruhkan empat lagu baharu.

Justeru itu, ia dilabelkan sebagai 'Unrealeased Album'.

Sementara itu, album terbaharu ini bakal mempertaruhkan empat lagu baharu untuk meneruskan legasi nama mereka dalam kalangan peminat muzik punk di Malaysia dan juga sekitar Asia Tenggara.

EP yang dibiayai dengan wang poket sendiri ini dirakamkan di Bakri Music Studio sekitar Mei lalu.

Papa berkata, penghasilan terbaharu ini lebih matang dan maju berbanding yang terdahulu.

"The Expired sudah mengeluarkan tiga album sebelum ini. Sepatutnya ada empat album tapi sayangnya 'master copy' album keempat hilang tak dapat dikesan.

"Muzik kami bersifat 'universal' dan tak sentuh mana-mana ideologi tertentu. Niat kami hanyalah untuk berkongsi muzik dan kreativiti dengan orang ramai dan melebarkan jaringan persahabatan dalam kalangan pencinta genre muzik yang sama," katanya.

Dia juga mengharapkan agar EP terbaharu mereka nanti akan diterima dengan baik dan seterusnya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

PAPA dalam aksi yang tersendiri.
PAPA dalam aksi yang tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:58 AM