Uyaina Arshad. FOTO Ihsan Curicuriklik
Uyaina Arshad. FOTO Ihsan Curicuriklik
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad terpaksa memakai beberapa lapisan pakaian bagi menjayakan watak Ammara bagi menunjukkan dia gadis unik dan pelik dalam drama Love Elsa yang mula ditayangkan di Astro Ria, semalam.

Uyaina, 29, atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, disebabkan itu penonton sudah mula bercakap mengenai perkara itu biarpun ia digelar fesyen pelik.

"Sebelum ini dalam mana-mana drama lakonan ataupun ke mana-mana memang tidak pernah pakai seperti Ammara. Ini adalah gaya yang diciptakan jurugaya drama ini iaitu Abu. Dari segi gaya saja sudah menampakkan Ammara seorang yang pelik.

"Ketika sesi percambahan fikiran (brainstorming), memang kena fikir sesuatu yang berbeza untuk watak ini. Itu yang tercetus idea buat gaya tudung begitu. Hasilnya, apabila episod pertama ditayangkan semalam sudah banyak persepsi daripada penonton.

"Bagi saya, terpulang pada pandangan masing-masing. Saya tidak mengiyakan, tak juga menidakkan. Kalau ia dilihat dari segi fesyen moden, dalam konteks cerita pula Ammara ini gadis pelik dan aneh. Jadi, gaya ini sesuai dengan watak ini. Kalau di luar, pernah juga pakai gaya fesyen lain untuk menghadiri acara, tapi bukan bukan gaya harian," katanya.

Uyaina yang ditemui pada sesi bersama media secara dalam talian berkata, dia perlu menggayakan penampilan sebegitu sepanjang 65 hari penggambaran.

"Bukan saja tudung, tapi sarung tangan dipakai juga ditempah khas. Bayangkan saya kena berpenampilan begitu selama 65 hari. Setiap kali menjalani penggambaran di kawasan awam, mesti ramai yang pandang pelik.

"Tidak dinafikan, ini watak yang akan saya ingat. Bukan saja cerita dan watak, tapi penampilan juga," katanya.

Drama arahan Michael Ang itu buat pertama kalinya menggandingkan Uyaina bersama Zul Ariffin.

Pelakon lain yang terbabit adalah Zeera Azizi, Ramona Zamzam, Mona Allen, Iman Suhana dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 5:13 PM