ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyokong penubuhan badan kutipan royalti di Sabah dan Sarawak bagi menjaga hak komposer dari dua negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sesi webinar Khazanah Muzik Sabah Sarawak : Pulangkan Ke Pangkuan Kami semalam berkata, ia akan menjadi saluran yang lebih mudah dan efisyen.

"Langkah ini akan menjaga hak komposer dari Sabah dan Sarawak di samping akan memberikan manfaat yang optimum kepada mereka.

"Saya menyokong sepenuhnya penubuhan badan itu. Bagi saya, ia memang sepatutnya diwujudkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menyarankan supaya penubuhannya perlu diteliti dengan lebih teratur untuk mengelakkan pelbagai isu yang akan timbul di masa akan datang.

"Kita sudah mendengar pelbagai aduan dan teguran mengenai mereka yang bekerja dalam bidang kutipan royalti ini di mana ada beberapa pihak yang tidak mendapat hak mereka sewajarnya.

"Dengan pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan diselia dengan baik seperti mana yang termaktub dalam polisi, kita dapat memantau segala bayaran termasuklah royalti kepada pencipta muzik.

"Itulah pentingnya sesuatu badan untuk mengutip royalti berfungsi dengan tahap yang terbaik. Kerana itu, kita perlu kukuhkan asasnya sebelum memulakan penubuhan sesuatu organisasi. Saya harap akan ada perkembangan menjelang penghujung tahun ini," katanya.

Sesi itu dihadiri lebih 100 pemain industri muzik tanah air dan dianjurkan oleh Wisdom Foundation Malaysia.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohamad Alamin; Pengerusi Persatuan Komposer Muzik & Pembuat Video Sabah (Score), Asmin Mudin; Pengerusi Armada Anak Seni Sarawak (Aras), Gibson Rentap; Pengarah Urusan Music Right Sarawak Berhad (MRSB), Tan Soh Phing Juliet dan peguam, Roger Chin.

Disember lalu, Asmin yang juga komposer meluahkan kekecewaannya mengenai isu bayaran royalti dalam industri muzik tanah air dan menekankan mengenai kebajikan komposer Sabah dan Sarawak yang diabaikan dalam badan kutipan royalti sedia ada.

Asmin pernah menghasilkan lebih 200 lagu popular di Malaysia antaranya Kau Ilhamku nyanyian Man Bai, Gemilang (Jaclyn Victor), Enggan (Fauziah Latiff) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:54 PM