POSTER Tanyalah Ustaz.
POSTER Tanyalah Ustaz.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun TV3 ke-37 yang dirai esok, stesen TV itu menerusi program Tanyalah Ustaz akan menganjurkan acara bacaan Surah Yasin secara serentak di seluruh negara.

Justeru, masyarakat Islam di seluruh Malaysia diundang untuk menyertai acara membaca Surah Yasin ini di rumah bagi mendoakan kesejahteraan negara yang kini berhadapan pandemik Covid-19 termasuk mendoakan juga kesejahteraan rakyat Palestin. 

"Bacaan Yasin ini akan dibawakan oleh Ustaz Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Ustaz Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud. 

"Episod istimewa Tanyalah Ustaz diteruskan dengan Sampaikan Walau Satu Ayat pada jam 6 pagi esok yang dihoskan Da'i Hadhari dan Da'i Hakim," kata pihak stesen itu. 

Dalam kenyataan dikeluarkan, dimaklumkan juga penonton boleh turut serta memeriahkan ulang tahun ini dengan berkongsikan pengalaman melalui video dan gambar bersama keluarga menerusi tanda pagar #tv3ulangtahun37 #BacaanYasinTanyalahUstaz #kesejahteraannegara.

Turut digalakkan juga membuat perkongsian di media sosial mengenai program sambutan ini yang bertujuan untuk sama-sama mengimarahkan majlis ilmu diadakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:23 PM