Dolla, dari kiri Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo. FOTO Instagram
Dolla, dari kiri Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Lebih setahun membina kerjaya nyanyian, kumpulan Dolla mengakui mereka pernah tertekan berhadapan dengan pelbagai kecaman daripada golongan 'haters' di media sosial.

Ditambah, pada awal kemunculan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby, mereka  cukup mendapat perhatian ramai selepas dikaitkan sebagai 'jelmaan' BLACKPINK.

Ditemui baru-baru ini, Syasya berkata pengalaman itu dilalui Dolla pada awal tahun lalu apabila mereka muncul dengan single pertama, Make You Wanna dan  didakwa pula cuba meniru kumpulan wanita popular dari Korea Selatan itu.

"Pada awal-awal dulu, agak susah juga nak menghadapinya (kecaman haters), sebab kami pun artis baru. Tengok telefon saja dah 'stress', apalagi bila buka Instagram dan Twitter. Memang tertekan jugalah, tengok komen-komen 'haters' tu.

"Tapi, akhirnya kami belajar sesuatu, kalau layan lagi teruk. Jadi, bagi taknak terus tertekan mana-mana komen yang kami tengok agak melampau sangat, selalunya diabaikan saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syasya, untuk dirinya dia juga pernah menerima ancaman 'bunuh' gara-gara gaya rambutnya yang dikata ada persamaan dengan Lisa BLACKPINK. Apapun, katanya keluarga banyak memberikan sokongan selain rakan kumpulan.

Bagi anggota Dolla yang lain juga, pengalaman dilalui cukup mematangkan mereka. Malah, menariknya semangat membara mereka memperjuangkan muzik Dolla kini semakin menampakkan hasil sangat baik.

Kemunculan single kedua, Impikan pada Oktober tahun lalu dan kini lagu raya berjudul Raya Raya Raya semakin 'membuktikan' tiada unsur Dolla meniru BLACKPINK. Mereka tampil dengan hala tuju muzik tersendiri.

Sabronzo berkata semua dakwaan yang pernah dikaitkan dulu, sudah berlalu seiring waktu. Dolla mempunyai personaliti kami sendiri dan tak ada unsur-unsur 'meniru' Blackpink pun.

"Kebanyakan peminat kami sekarang, dah nampak personaliti dan muzik Dolla yang sebenar. Alhamdulillah, kami juga mendapat sokongan padu daripada kelab peminat Dolla," katanya.

Populariti Dolla yang kini memuncak, turut memberi peluang kepada mereka mendapat kerjasama daripada syarikat terkenal seperti Samsung dan juga TikTok Malaysia.

Menariknya juga, Dolla turut mendapat penghargaan apabila wajah mereka diabadikan dalam lukisan mural yang terletak di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur.

Menurut Tabby, mereka sangat berbesar hati dengan peluang yang diperoleh itu. Katanya, satu penghargaan berharga buat Dolla kerana menjadi artis yang dipilih untuk foto mereka dihasilkan sebagai mural.

Angel pula berkata mural wajah anggota Dolla yang dihasilkan itu memang 100 peratus asli seperti dalam foto mereka. Katanya, Dolla sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada pelukisnya, Lowkey.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:21 PM