REZEKI berlakon, Jabir mengaku ceburi bidang lakonan kerana minat.
REZEKI berlakon, Jabir mengaku ceburi bidang lakonan kerana minat.
Norhayati Nordin


SELAIN mendapat peluang menceburi kerjaya seni, pelakon baru dikenali Jabir Meftab turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan untuk menghulur bantuan dan sumbangan menerusi Pertubuhan Pendidikan Kesedaran dan Minda Prihatin Malaysia atau Youth Care Malaysia.

Selaku Presiden dan juga pengasas pertubuhan itu, Jabir berkata dia minat membabitkan diri dalam aktiviti berkaitan masyarakat ini sejak di alam persekolahan. Katanya, dia peka dengan nasib segelintir masyarakat yang memerlukan bantuan dan pembelaan.

"Sebagai golongan muda negara, saya berasa terpanggil untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Youth Care Malaysia ini untuk bersama-sama meringankan beban masyarakat yang memerlukan.

"Syukur alhamdulillah, usaha saya mendapat maklum balas positif pada kalangan ahli dan kami juga sudah menjalankan banyak aktiviti. Sejujurnya, apabila terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan sebegini, saya menimba banyak pengalaman selain bersyukur dengan apa yang dimiliki.

"Dalam kehidupan ini, semua orang ada cabaran dan dugaan masing-masing. Bahkan, menerusi aktiviti kemasyarakat dilakukan itu, saya bersama pasukan pasti berasa gembira dan puas apabila misi kami berjaya," katanya.

Mengakui mengharapkan kerjaya seni dan aktiviti pertubuhannya bergerak seiring, Jabir berkata dia juga tidak ambil peduli terhadap pandangan berbaur negatif. Katanya, tujuan utama setiap misi dibuat adalah untuk menghulur bantuan.

Pemuda berjiwa besar yang baru berusia 21 tahun ini, bagaimanapun baru muncul dengan drama lakonannya di TV3 berjudul Shah Alam 40,000, arahan Isma Yusoof. Menerusi drama itu, Jabir menjadi antara nama bakat baharu seni lakon diketengahkan.

Bagaimanapun, Isma dalam perkongsian videonya di Instagram pernah meluahkan rasa kecewa kerana tertekan dengan sikap segelintir pelakon baru yang dilabel 'kayu' kerana gagal merealisasikan lakonan mereka dengan baik seperti diharapkan.

Memandangkan Jabir turut berlakon dalam drama itu, maka secara tak langsung namanya disebut-sebut sebagai 'pelakon baru' yang dimaksudkan. Bagaimanapun, dia tidak melatah dan positif dengan dakwaan yang menghimpitnya.

"Saya tidak kecil hati pun dengan komen 'pelakon kayu' yang diluahkan Isma sebagai pengarah, kerana memahami situasinya ketika itu. Bagi saya, ia satu teguran yang baik dan perlu diambil mengikut sudut positif.

"Terus-terang, bagi pihak saya sangat menghargai komen-komen yang diluahkannya untuk memperbaiki kelemahan diri ke arah menjadi pelakon lebih baik pada masa akan datang.

JABIR turut aktif dengan aktiviti Youth Care Malaysia.
JABIR turut aktif dengan aktiviti Youth Care Malaysia.

"Malah, sebenarnya saya juga tidak pasti jika komen yang dibuatnya (Isma) itu memang dituju kepada saya atau pelakon lain. Apapun, saya sangat hargai bagi memperbaiki kelemahan lakonan," katanya.

Berkongsi permulaan kerjaya seninya, Jabir berkata dia terbabit menceburi lakonan pada 2018 lalu sebagai pelakon tambahan kerana menyimpan impian menjadi seorang pelakon sejak kecil lagi.

"Saya mula berlakon sebagai ektra sekitar tiga tahun lalu, kemudian beralih arah di bidang peragaan pada 2019 dan tahun lalu, saya ambil peluang sertai pula pertandingan Hero Remaja 2020 untuk ketengahkan bakat.

"Malah, sejak tahun lalu saya juga banyak menyertai kelas lakonan dan semakin faham bagaimana industri ini. Apapun, saya takkan berhenti dari terus menuntut ilmu sehingga apa yang diimpikan berjaya. Saya nekad mahu terus berusaha," katanya.

Sehubungan itu, Jabir yang berdarah kacukan bapa Tunisia dan ibu Melayu mengakui dia kini gembira dan sangat bersyukur apabila rezekinya dalam lakonan makin murah kerana sudah membintangi drama lain seperti Juliet, Suara Hati, Cinta Tiada Perisik, Diva Popular dan Amoi Balik Kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:15 AM