DATUK Hattan dilantik sebagai duta minuman Stobu di Petaling Jaya. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Hattan dilantik sebagai duta minuman Stobu di Petaling Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Penyanyi Datuk Hattan, 57, akan tetap meneruskan pendekatan menegur mengenai isu yang berlaku dalam muzik industri dengan lantang dan enggan ambil tahu pandangan sinis orang lain.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin berkata, sebagai orang lama, dia melihat perkara itu sebagai satu tanggungjawab besar buatnya demi kebaikan industri.

"Saya akan bersuara contoh mengenai muzik kalau ada yang tak kena. Saya akan tegur dan ia adalah pendapat peribadi saya. Jadi, kalau nak dengar, terpulang. Saya rasa sakit jiwa bila tak ada orang tegur. 

"Saya tengok ramai artis asyik nak memuji sahaja walhal di belakang, kutuk lain. Tapi macam saya bukan kutuk, saya hanya beri semangat. Mereka sepatutnya ambil teguran secara positif, anggap ia pembakar semangat untuk kebaikan diri-sendiri juga.

"Takkan nak puji sahaja dan bila tak puji, jadi menyampah pula. Saya dan rakan senior industri terutama sifu saya iaitu Datuk M Nasir selalu berbincang mengenai industri seni. Kalau ada nampak kelemahan, kenalah tegur," katanya.

Teguran itu termasuklah juga bersuara mengenai selebriti dan 'instafamous' yang didakwa salah guna kebenaran rentas negeri baru-baru ini.

Hattan menjelaskan teguran itu bukan hanya ditujukan kepada mana-mana pihak. 

Hattan berkata, teguran itu bukan secara membabi-buta. Sebaliknya, dia bercakap berdasarkan fakta yang betul bukan sekadar bercakap kosong. 

"Saya banyak tegur berdasarkan fakta seperti minggu lalu yang saya tegur berkaitan rentas negeri. Teguran itu disebabkan membabitkan ramai pihak tapi bukan ditujukan kepada seorang selebriti sahaja. 

"Ia untuk semua secara meluas. Bagi saya, kalau dapat peluang untuk ke mana-mana, janganlah salah guna. Sebab kalau peluang itu disalahguna, silap-silap semua orang pun terkesan.

"Salahkah saya nak tegur? Saya bukan beri teguran secara membabi-buta. Kalau saya tak tegur, siapa lagi nak buat teguran itu? Bila saya rasa fakta itu betul, saya akan kongsi dan ia hanya pendapat peribadi," katanya.

Hattan ditemui ketika majlis pelancaran pelantikannya sebagai duta produk minuman jenama Stobu yang dikeluarkan Sweet Cane. Inisiatif itu adalah antara langkahnya membantu martabatkan perniagaan industri kecil sederhana (IKS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:13 PM