Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Selepas babak tunjal kepala itu, Lydia (Lydiawati) pun minta maaf dan peluk ibu kuat-kuat,".

Demikian, kata pelakon veteran, Wan Maimunah ketika diminta mengulas mengenai babak tunjal kepala dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Wan Maimunah yang mesra disapa dengan pangilan ibu Wan berkata, dia kembali disatukan dengan Lydiawati selepas lebih 10 tahun tidak bertemu.

"Dah lebih 10 tahun, kami tak berjumpa dan bila dapat bergabung dalam satu drama, ibu cakap, buat saja betul-betul.

"Bila dia tolak, ibu akan bergerak macam tolakannya begitu kuat. Ditambah pula dengan ekspresi muka dan sebagainya.

"Jadi, kami saling memberi untuk menjayakan babak itu. Bila dapat impak yang besar dan penonton marah, maknanya, lakonan Lydia berjaya," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Wan Maimunah yang memegang watak sebagai Senah, sesi latihan juga penting untuk memastikan setiap gerakan dan ekspresi wajah itu nampak realistik.

"Waktu latihan pun, kita kena buat betul-betul dan bersungguh-sungguh. Jadi, bila menjalani penggambaran, penonton dapat rasakan emosi dan kesakitan kita itu.

"Kalau satu pihak saja yang bersungguh-sungguh, tak boleh juga. Jadi, kami kena saling memberi," katanya.

Di media sosial, ramai yang marah dengan karakter Rokiah lakonan Lydiawati dan bersimpati dengan karakter Senah.

"Kalau nak tahu adakah Senah akan terus berdiam diri walaupun diperlakukan sedemikian atau tidak, kena ikuti dan tonton drama ini.

"Ibu nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang prihatin kepada Senah," katanya.

Selain lakonan hebat Wan Maimunah dan Lydiawati, drama arahan Emi Sufian itu menampilkan pelakon Redza Rosli, Intan Najuwa, Fendy Bakry, Azza Elite dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:56 AM