GAMBAR kenangan Radin bersama Allahyarham ibunya.
GAMBAR kenangan Radin bersama Allahyarham ibunya.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Semalam adalah hari lahir saya ke-31 dan ulang tahun kali ini paling menyedihkan dalam hidup saya kerana tak dapat lagi ucapan dan menyambutnya dengan mama seperti tahun-tahun sebelumnya," kata penyampai radio Radin yang masih bersedih atas pemergian ibu tercinta, Allahyarham Feridah Hashim pada 18 Februari lalu. 

Radin berkata, pemergian ibu bukan sahaja merentap kebahagiaan dan jiwanya, namun dia turut kehilangan doa daripada insan paling disayangi itu.

"Bila hilang mak, bukan jasadnya sahaja hilang tapi juga doa seorang ibu. Rezeki saya hari ini adalah berkat daripada doa ibu saya selama ini. 

"Alhamdulillah, walaupun jauh dengan ahli keluarga, Allah berikan saya rezeki yang cukup bermakna bila dapat sokongan penuh yang cukup kuat daripada sahabat-sahabat yang boleh dianggap sebagai sebuah keluarga,"katanya. 

Menurut Radin, biarpun melihat dirinya kini mampu tersenyum dan bergelak tawa sepanjang menjalankan tanggungjawab kerja seperti biasa, namun hakikat sebenar yang dirasai hanya dirinya saja yang tahu. 

"Sebagai seorang anak memang susah untuk menerima kenyataan dengan apa yang berlaku, tapi ketentuan ini adalah aturan terbaik dari-Nya untuk arwah ibu.

"Apa yang tinggal hanya kenangan dan nasihat yang saya takkan lupakan sampai bila-bila. Tuhan saja yang tahu apa saya rasa selama ini bila kena bekerja untuk hiburkan orang lain, sedangkan dalam hati sayu dan sedih. Jujur diakui, sakit sangat perasaan ini. Apapun ini adalah ketentuan Allah.

"Allah lebih sayangkan mama dan nak berikan mama rehat selepas berjuang dengan penyakit paru-paru berair itu hampir 37 tahun," katanya. 

Tanggal 18 Februari lalu, penyampai radio Era FM ini berkongsi khabar duka apabila ibu tersayang yang menghembuskan nafas terakhir jam 9.25 pagi. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 4:18 PM