BERHARAP single baharu diterima baik peminat.
BERHARAP single baharu diterima baik peminat.
Sudirman Mohd Tahir


KEKURANGAN dimiliki digantikan dengan kelebihan dari segi suara yang gemersik tatkala menyanyi dan kebolehan mencipta lagu dengan baik.

Itu anugerah daripada Ilahi buat insan istimewa, Fiena, 22, atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini.

Kemunculannya pada program Mentor Milenia 2017 bukan saja menyentuh hati penonton, tapi membuka mata ramai pihak akan bakat luar biasa dimilikinya.

Mempersembahkan lagu ciptaan sendiri, Tuhan Jaga Dia Untukku, Fiena berjaya mencipta populariti, sekali gus dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk menguruskan kerjaya seninya.

Lagu itu dirakam dan menjadi single sulung daripada Fiena yang dipasarkan pada 2017. Lagu terbabit juga menembusi hampir semua carta stesen radio utama negara dan muzik video rasmi lagu itu mencapai lebih empat juta tontonan di YouTube.

Pastinya ia satu kejayaan membanggakan bagi penyanyi dan penulis lagu baru ini.

Selepas empat tahun lagu itu dilancarkan, Fiena kembali dengan sebuah lagi karya terbaharu ciptaannya sendiri, Folio Cinta yang sekali gus menjadi penamat kepada jalan cerita lagu terdahulu.

Berkongsi mengenai lagu itu, Fiena yang juga orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, Folio Cinta adalah hasil tugasan bagi projek aplikasi orang cacat penglihatan seluruh dunia iaitu TeamTalk.

"Lagu Folio Cinta dihasilkan dua tahun lalu yang mana ia adalah tugasan yang diberikan dalam aplikasi TeamTalk. Aplikasi ini membabitkan orang cacat penglihatan di seluruh dunia.

"Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, jadi setiap orang diberikan tugasan. Saya memilih untuk menghasilkan lagu. Ketika bersantai dalam bilik, idea datang dan saya terus membuat lagu dan lirik.

"Walaupun tempoh seminggu diberikan untuk menyiapkan tugasan ini, tapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari saja," katanya.

Fiena berkata, dia juga tidak menjangka apabila lagu Folio Cinta menjadi pilihan Nova Music untuk diterbitkan sebagai single terbaharu.

"Kebetulan Nova Music minta lagu baharu. Jadi, saya pun beri dua lagu. Tapi, mereka memilih lagu Folio Cinta ini. Sebab diberikan, lagu ini seperti kesinambungan lagu pertama saya dulu.

"Alhamdulillah, lagu ini sudah siap sepenuhnya pada penghujung 2019 dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Sudah pasti saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar dan peminat seperti single terdahulu," katanya.

Fiena yang mempunyai bakat menyanyi sejak berusia dua tahun berkata, lirik lagu Folio Cinta tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

"Lagu Folio Cinta ini bersifat keseluruhan. Walaupun ia mengenai kisah pasangan kekasih yang curang dan kemudian ingin kembali kepada teman wanitanya, tapi ia tiada kaitan dengan mana-mana pihak. Ini idea saya sendiri. Saya hanya buat berdasarkan apa yang terlintas di fikiran," katanya.

Bercerita lanjut, Fiena yang turut mahir bermain keyboard berkata, dia berharap lagu terbaharu akan pergi jauh seperti tercalon dalam Muzik Muzik 36.

Single kedua Fiena itu adalah terbitan Nova Music dilancarkan di semua pelantar striming muzik digital sejak semalam. Video lirik lagu itu juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Menariknya, lagu Folio Cinta turut terpilih sebagai lagu runut bunyi drama Aku Bukan Malaikat terbitan Zamriez Golden Pictures yang bakal disiarkan di RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:41 AM