SAIFUDDIN ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana PELAKSANA Fasa 2 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Secara Maya di kementeriannya. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana PELAKSANA Fasa 2 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Secara Maya di kementeriannya. FOTO BERNAMA
Ridzuan Abdul Rahman

Petaling Jaya: Sebanyak 65 syarikat produksi menerima surat tawaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) Fasa 2 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,985 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Penyerahan dilakukan secara maya oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Majlis penyerahan ini adalah lanjutan daripada penyerahan fasa pertama yang sudah dilaksanakan pada 24 November tahun lalu membabitkan 39 syarikat produksi dan peruntukan sebanyak RM13.3 juta.

Pelaksana dilancarkan Finas pada 28 Julai lalu bertujuan untuk memperkasakan industri kreatif yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 serta berupaya memperbanyakkan pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan di masa hadapan.

Inisiatif ini juga mensasarkan untuk menjana semula ekonomi industri kreatif serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan pihak swasta membabitkan stesen televisyen dan penyiaran tempatan iaitu Astro, Media Prima Berhad, TV Alhijrah dan Sarawak Media Group (SMG).

Hadir sama pada majlis penyerahan ini Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Sri Mohammad Mentek; Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:13 PM