FAUZIAH NAWI
FAUZIAH NAWI
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Hasil perbincangan semalam, mereka meminta kami menyenarai dan menyerahkan cadangan-cadangan untuk diteliti Yang Di-Pertuan Agong sebelum baginda mengambil sebarang tindakan," kata pelakon veteran, Fauziah Nawi, 68, yang dijemput ke Istana Negara, di sini, bersama beberapa penggiat seni bagi memohon kebenaran melakukan penggambaran, semalam.

Fauziah yang mesra dipanggil Ibu ketika dihubungi berkata, dia bersama rakan artis antaranya pelakon Anne Abdullah dan penyanyi, Zur Eda mengadakan pertemuan selama dua jam dengan pegawai istana yang diketuai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Katanya, mereka akan menyenaraikan cadangan berkenaan sebelum dikemukakan kepada pihak Istana Negara dalam masa terdekat ini.

Fauziah menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas keprihatinan dan kepekaan baginda terhadap keluh-kesah penggiat seni yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila permintaan saya diperkenan pihak istana, ini menunjukkan bahawa Tuanku prihatin dengan nasib golongan anak seni yang turut terkesan akibat pandemik ini," katanya kepada Harian Metro.

Fauziah berkata, dia tidak hanya mewakili golongan pelakon, tetapi semua penggiat seni dari pelbagai cabang.

"Tak mudah sebenarnya kerana apabila anak seni bersuara, orang ramai akan mula marah dan melemparkan pelbagai kecaman seolah-olah kita tak ada hak untuk bersuara.

"Yang menimbulkan kehairanan buat saya kerana sektor industri kreatif inilah yang selalu dipinggirkan berbanding sektor lain.

"Kami tak sakit hati dengan sektor lain. Kalau boleh, kami tak mahu minta sumbangan sebab kita faham situasi sekarang. Yang kami minta adalah peluang dan ruang untuk bekerja semula," katanya.

Fauziah berkata, dia juga hairan kenapa prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor industri kreatif yang sedia ada sebelum ini tidak terus diguna pakai sedangkan syarikat produksi sentiasa mematuhinya.

"SOP sebelum ini pun sebenarnya sudah dipatuhi syarikat-syarikat produksi yang menjalankan penggambaran secara ketat. Tak ada pula kluster baru yang muncul daripada set penggambaran. Jadi, kenapa tidak diteruskan saja penggunaan SOP sebelum ini dan ditambah baik mengikut kesesuaian keadaan?" katanya.

Menurutnya, kebenaran untuk membuat penggambaran secara 'indoor' juga satu keputusan yang berisiko. "Apabila diumumkan bahawa penggambaran 'indoor' saja dibenarkan, adakah mereka tak tahu bahawa ruang tertutup lebih berisiko tinggi? Apabila hanya 20 orang dibenarkan bekerja, bagaimana nasib pekerja seni yang lain? Mereka mendapat bayaran berdasarkan kerja. Ada yang kadang-kadang bekerja selama sebulan. Tapi, bulan-bulan seterusnya belum tentu mereka akan ada kerja," katanya.

Bagaimanapun, dia menghormati keputusan kerajaan yang perlu melalui pelbagai prosedur.

"Saya faham, keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan negara dan bukan boleh dibuat seperti keputusan antara emak dengan anak.

"Jadi, saya harap segala keputusan bagi memberi kelonggaran kepada penggiat seni kembali bekerja dan menjalankan aktiviti seni dipercepatkan," katanya.

Terdahulu, Fauziah yang menyatakan kesanggupannya untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalankan penggambaran pada 4 Februari lalu dijemput ke Istana Negara, kelmarin atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:19 PM