Fauziah Nawi.
Fauziah Nawi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) bagi kategori penggiat seni sebagai pengiktirafan terhadap jasa sepanjang berkecimpung dalam kerjaya sebagai artis, Fauziah Nawi berbangga dengan penganugerahan yang diberikan kepadanya itu.

Fauziah, 70, berkata, dia bersyukur atas penganugerahan terbabit kerana tidak pernah mengharapkan dirinya dihargai sehingga tahap ini.

"Ini bukan gelaran Datuk tapi cuma pingat sahaja. Kalau orang dah nak bagi, kita terima dan sangat bersyukur. 

"Perkara ini dimaklumkan kepada saya pada Jumaat atau Khamis minggu lalu sebelum saya buat persembahan monolog Orang Suara Kuat.

"Sebenarnya dalam karier sebagai anak seni, saya tak pernah harap apa-apa pun. Dapat yang macam ini pun saya terkejut," kata pelakon versatil itu kepada Harian Metro. 

Pelakon yang dikenali menerusi sitkom Santan Berlada pada era 1980-an itu berkata, pemberian anugerah sebegini menjadi cabaran baharu terhadap kariernya. 

"Tanggungjawab saya sekarang menjadi lebih besar dan berat. Kita ini  bukan sesiapa. 

"Ada anugerah atau tidak, saya tetap buat kerja seni saya. Kepada Yang Dipertuan Agong saya berterima kasih banyak-banyak dan bersyukur atas anugerah ini," katanya.

Fauziah bersama dua penggiat seni lain iaitu Datuk Dj Dave dan Datuk 

Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan (sekarang Tan Sri) tersenarai diantara 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:24 PM