AZHAN Rani. FOTO Arkib NSTP
AZHAN Rani. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon, Azhan Rani kagum dengan sikap rakyat Malaysia yang prihatin dalam melakukan misi bantuan kepada golongan memerlukan ketika penularan Covid-19 sekarang.

Azhan berkata, dia terinspirasi dengan sikap baik dan murni yang dilakukan individu terbabit antaranya Ustaz Ebit Lew.

Walaupun agak kecewa apabila usaha individu itu terhalang sebelum ini, namun dia berharap semoga orang baik seperti itu terus diberikan kesihatan yang terpelihara serta kekuatan berdepan apa juga cabaran dalam menjayakan segala misi bantuan.

"Semoga usaha-usaha kebaikan yang sudah dibuat itu menjadi inspirasi untuk kita sama-sama menolong orang lain. Saya doakan semuanya lancar dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT," katanya.

Azhan berkata, dia turut berharap banyak pihak lebih terbuka untuk membantu. Jika tidak mampu membantu dari segi kewangan, sudah memadai sekadar memberi sokongan untuk lebih bersemangat.

Terdahulu, Azhan berkongsi di media sosial mengenai cabaran dihadapi idolanya iaitu Ebit Lew yang gigih turun padang menghulur bantuan kepada golongan memerlukan.

Bagaimanapun, baru-baru ini misi bantuan pendakwah berkenaan berdepan cabaran. Justeru, ia membuatkan Azhan kecewa kerana niat baik yang cuba dibuat itu mendapat halangan.

Selain itu, Azhan turut menyeru orang ramai tampil menderma darah bagi mengisi kekurangan bekalan yang semakin kritikal terutama mereka menetap di sekitar Perlis.

Dalam perkongsiannya, dia meminta supaya masyarakat prihatin terhadap pentingnya kesedaran menderma darah.

Maklumat lanjut, boleh didapati dalam laman web Pusat Darah Negara (PDN).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:07 PM