AZHAN bergambar di hadapan bangunan PDN.
AZHAN bergambar di hadapan bangunan PDN.
Norhayati Nordin

AKTIVITI menderma darah sudah tidak asing buat pelakon, Azhan Rani. Malah, bintang drama Nur dan Nur 2 ini cukup dikenali dalam kalangan petugas Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur.

Azhan, 44, sudah mula terbabit aktiviti menderma darah sejak 2010. Hingga kini, dia sudah menderma darah sebanyak 35 kali.

Baharu mendermakan darah pada 18 Januari lalu, esok Azhan bersama rakan-rakannya dari kelab pendaki gunung dikenali Summit Attack Resources (SAR) akan melakukan kempen kemasyarakatan ini di PDN

Sebagai selebriti, Azhan berkata, dia sekadar menjalankan tanggungjawab untuk menyuntik kesedaran masyarakat serta mengajak rakan-rakannya yang berminat untuk menderma darah.

"Sudah menjadi rutin saya kerap menderma darah di PDN kerana sedar bekalan darah sentiasa diperlukan untuk membantu menyelamatkan orang lain. Bagi saya, ini hanya sedikit sumbangan kecil yang dapat dilakukan.

"Ditambah, saya juga suka menderma darah kerana ia aktiviti yang sangat sihat. Dari asyik duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak boleh keluar bekerja, lebih baik saya ke PDN untuk menderma darah.

"Ada juga aktiviti yang sangat bermanfaat dapat saya lakukan untuk membantu orang yang memerlukan darah seperti menyelamatkan mangsa kemalangan serta mereka yang sakit. Lagi pun, selepas menderma darah saya akan jadi lebih bersemangat dan bertenaga," katanya.

SUASANA ketika menderma darah.
SUASANA ketika menderma darah.

SEBAHAGIAN daripada ahli pasukan pendaki SAR yang juga rakan-rakan Azhan.
SEBAHAGIAN daripada ahli pasukan pendaki SAR yang juga rakan-rakan Azhan.

Berbicara mengenai program derma darah akan disertainya itu, Azhan berkata, penting sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat serta menggalakkan orang ramai supaya tampil menderma darah terutama dalam kalangan pendaki gunung.

"Malah, daripada maklumat yang saya peroleh memaklumkan sekarang ini pun PDN sangat memerlukan bantuan darah kerana bekalan semakin kurang.

"Selain itu, saya juga nak bantu hebahkan kepada orang ramai yang masih tidak tahu bahawa ketika negara masih PKP ini kita tiada masalah untuk hadir ke PDN bagi menderma darah.

"Apa yang lebih utama, kena pastikan dokumen untuk kebenaran merentas perlu dibawa, termasuk kad temu janji menderma darah. Malah, segala maklumat dikehendaki boleh didapati dalam laman web PDN," katanya.

Menurut Azhan, urusan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian dan sangat memudahkan. Selepas mendaftar, terus dapat slip temu janji untuk tarikh yang dipilih.

Azhan berkata, bagi kempen menderma darah bersama SAR itu, dijangkakan 15 pendaki sudah mendaftar diri untuk menyertainya.

Katanya, pasukan mendaki SAR juga sudah dikenalinya agak lama dan mereka pernah mendaki bersama ke Everest Base Camp (EBC) di Nepal pada Ogos 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:31 AM