WANI Kayrie dan mikrofon yang terukir namanya.
WANI Kayrie dan mikrofon yang terukir namanya.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi, Wani Kayrie membelanjakan belasan ribu ringgit bagi membeli set mikrofon sendiri yang turut terukir namanya.

Wani, 21, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, itu adalah impiannya sejak kecil selain menyifatkan ia adalah kejayaan peribadi sepanjang pembabitan dalam bidang seni.

"Ini adalah mikrofon pertama saya beli dengan hasil titik peluh selama dalam kerjaya seni. Saya sudah pasang niat dan impian sejak kecil sebab saya sudah masuk pertandingan sana sini. Setiap kali tengok idola, Beyonce menyanyi dengan mikrofon sendiri, saya mesti teringin.

"Kalau pemuzik, identiti mereka adalah alat muzik yang mereka miliki. Bagi penyanyi pula, memiliki set mikrofon sendiri juga adalah identiti penyanyi itu. Ini juga melambangkan diri saya sekali gus memberi semangat untuk saya terus berkarya.

"Sejujurnya puas sudah ada mikrofon sendiri. Walaupun ramai tanya kenapa beli sekarang sebab bukan ada persembahan pun, tapi saya beli sebab keinginan dan ini adalah sasaran saya," katanya.

Menurut Wani, dia menempah dua sarung mikrofon berwarna hijau dan perak berserta ukiran nama Wani Kayrie.

Dalam masa sama, Wani yang memulakan kerjaya nyanyian seawal usia enam tahun bercita-cita untuk membina studio rakaman di dalam rumah.

"Selepas ini saya sasarkan nak buat 'home studio', tapi saya tahu kosnya agak tinggi. Kalau ada nanti, saya boleh buat lagu dan rakam lagu di rumah.

"Sasarannya, insya Allah, kalau rezeki berpanjangan. Tapi, buat masa sekarang biarlah saya dahulukan diri dan keluarga saya. Kemudian baru saya buat untuk keinginan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 4:41 PM