Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti Intan Ladyana, 38, dan Harris Alif, 21, akan melangsungkan pernikahan pada 6 Februari depan dan turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang akan dilangsungkan nanti.

Pasangan itu membuat pengumuman berkenaan dalam sidang media di ibu kota, hari ini.

Mereka yang bakal disatukan di sebuah masjid di sini tidak dapat menyembunyikan kegembiraan untuk beralih ke fasa perkahwinan dan masing-masing tidak sabar menghitung hari untuk disatukan.

Harris berkata, dia lega hari ini menjadi masa yang tepat untuk membuat pengumuman secara rasmi mengenai perkahwinan mereka.

"Sebenarnya, majlis merisik Intan sudah dibuat sebulan selepas ulang tahun kelahirannya Julai tahun lalu. Bagaimanapun, majlis itu dirahsiakan. Jadi dengan pengumuman hari ini, maka terjawablah teka-teki mengenai status hubungan kami yang seterusnya. Kami cuma mahu semua mendoakan agar segala yang kami rancang sebelum ke majlis bermakna itu menjadi lancar.

"Dari segi persiapan, sekarang sudah sekitar 95 peratus siap. Kebimbangan kami cuma penganjuran mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada setiap majlis kami nanti. Kami mahu SOP dijaga rapi sepanjang masa nanti," katanya.

Sementara itu, Intan berkata, dia bersyukur segala urusan hubungan mereka dipermudahkan sejak menjalin cinta tahun lalu.

Bagi Intan, kematangan Harris serta restu keluarga sudah cukup untuk akhirnya berumah tangga.

"Dari awal perkenalan kami, memang segalanya dipermudahkan. Keluarga kedua belah pihak pun sangat positif dan merestui hubungan kami. Jadi, saya rasa kami memang berada di landasan yang betul.

"Soal Harris masih terlalu muda itu bagi saya bukan isu besar. Ia semua bergantung kepada tahap kematangan dan ramai saja yang berkahwin pada usia sepertinya.  Ada juga lelaki berusia 40 tahun tak matang," katanya.

Harris dan Intan bakal mengadakan empat majlis berbeza sempena perkahwinan mereka nanti. Acara itu termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang yang turut mendapat tajaan nama-nama besar.

Antara penaja majlis mereka adalah Ceres Jewel yang mana pasangan itu juga bakal menyarung barangan bernilai RM13.5 juta pada majlis pernikahan serta resepsi. Majlis resepsi mereka bakal berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Menjalin cinta hampir setahun, pasangan ini mengumumkan secara terbuka mengenai hubungan mereka tahun lalu. Walaupun jarak usia 17 tahun membezakan mereka, bukan alasan atau halangan untuk mengakhiri hubungan ke jenjang pelamin. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 4:20 PM