BARISAN pelakon Warrior (dari kiri) Perry Yung, Dianne Doan, Hoon Lee, Olivia Cheng dan Joe Taslim. FOTO Cinemax Malaysia
BARISAN pelakon Warrior (dari kiri) Perry Yung, Dianne Doan, Hoon Lee, Olivia Cheng dan Joe Taslim. FOTO Cinemax Malaysia
Syafil Syazwan Jefri

Jika anda meminati karya aksi dan sejarah, semestinya siri Warrior antara pilihan terbaik.

Bermula semalam, Warrior ditayangkan di saluran Cinemax, jam 11 malam dan dibintangi pelakon hebat seperti Andrew Koji, Kieran Bew, Olivia Cheng, Dianne Doan, Joe Taslim, Dean Jagger, Langley Kirkwood, Hoon Lee, Christian McKay, Joe Taslim, Jason Tobin, Joanna Vanderham, Tom Weston-Jones serta Perry Yung.

Siri yang penggambarannya dijalankan di Cape Town, Afrika Selatan itu adalah karya asal legenda seni pertahanan diri, mendiang Bruce Lee yang dihasilkan pada 1971.

Warrior yang mengambil latar belakang San Francisco ketika abad ke-19 sarat dengan babak aksi dan kekecohan berikutan aktiviti jenayah.

Ia mengisahkan Ah Sahm lakonan Andrew Koji yang mahir bertarung berhijrah dari China ke San Francisco.

Ah Sahm membuktikan kemampuannya dalam satu pertarungan dan menjadi pengikut kumpulan jenayah paling berpengaruh di Chinatown yang dikenali sebagai Hope Wei.

Bermula daripada situ, berlaku pelbagai insiden membabitkan semua watak dalam drama bersiri 10 episod itu.

SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia
SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia

Pelakon terkenal Indonesia, Joe Taslim yang memegang watak Li Yong mengakui teruja menantikan reaksi penonton terhadap siri itu.

“Saya mahu dengar apa kata penonton. Harap, penat lelah semua yang terbabit dalam siri ini berbaloi,” katanya.

Menurut Joe, siri ini bukan hiburan kosong tetapi ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Ia memaparkan perjalanan hidup orang Asia terutama dari China yang berhijrah ke San Francisco dan membuka Chinatown pada abad ke-19.

“Selain padat dengan aksi pertarungan seni mempertahankan diri, Warrior juga punya nilai-nilai positif,” katanya.

SET penggambaran Warrior dibina di Cape Town. FOTO Cinemax Malaysia
SET penggambaran Warrior dibina di Cape Town. FOTO Cinemax Malaysia

Bagi Hoon Lee yang memegang peranan Wang Chao, menjadi sebahagian daripada keluarga Warrior adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Setiap siri ada kelebihan tersendiri. Menerusi siri ini, ada beberapa pengalaman baru yang saya peroleh di set, solekan, kesan khas dan sebagainya,” katanya.

Hoon yang ditemui di Cape Town turut membawa media melawat set penggambaran yang sedang berlangsung.

SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia
SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia

“Set-set ini dihasilkan untuk nampak realistik. Ia penting untuk memastikan mereka yang menonton seolah-olah berada di tempat kejadian yang berlatarbelakangkan abad ke-19.

“Jadi, sebagai pelakon kami bekerja keras agar semua nampak realistik seperti adegan kebakaran dan letupan,” katanya.

SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia
SET yang dibina nampak realistik. FOTO Cinemax Malaysia

Selain Joe dan Hoon, kunjungan media di set Warrior turut disambut mesra pelakon lain antaranya Perry Yung, Dianne Doan dan Olivia Cheng.

Media juga dibawa melihat ruang penghasilan kostum dan solekan kesan khas.

Warrior diterbitkan anak Bruce Lee iaitu Shannon Lee untuk Bruce Lee Production bersama Jonathan Tropper dari Tropper Ink Productions dan Justin Lin (Perfect Storm Entertainment).

Penulis menghadiri lawatan ke set penggambaran siri Warriordi Cape Town, Afrika Selatan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:00 AM