Rita Rudaini Mokhtar bersama Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Rafqa Arjuna (kanan) di restoran miliknya Rumah Kuih di Sunway Nexis Kota Damansara. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Rita Rudaini Mokhtar bersama Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Rafqa Arjuna (kanan) di restoran miliknya Rumah Kuih di Sunway Nexis Kota Damansara. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Rita Rudaini mempunyai cara tersendiri dalam mendidik kedua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Rafqa Arjuna, 9, termasuk dalam perhubungan dengan haiwan.

Menurut Rita, setiap hari sebelum menghantar kedua anaknya ke sekolah, dia akan membawa Rayyan dan Arjuna singgah memberikan makanan kepada kucing terbiar.

"Setiap hari sebelum ke sekolah, mesti singgah bagi makanan dan air pada kucing. Saya mahu mendidik anak dengan berkongsi rezeki sesama makhluk.

"Pernah tak ada kucing yang tiba-tiba datang ke rumah kita? Kadang dah bawa keluar, tapi datang balik. Bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan dari Tuhan. 

"Sebenarnya, dengan cara itu Allah SWT nak menegur kita bahawa jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah ruah telah diperuntukkan Allah untuk kita," katanya.

Rita yang kini sibuk menjalani penggambaran Shah Alam 40k berkata, jika selepas ini ada kucing mendekati diri kita sebaiknya cuba beri makan.
"Kucing itu hanya menjadi asbab atau sebab kepada terjemputnya segala rezeki ini dengan keikhlasan kita dan doa dari kucing untuk tuan rumah.

"Jadi, selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada Tuhan kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu lebih baik dari perancangan kita sendiri. Dan mungkin kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.

"Rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta benda tapi juga dalam bentuk yang lain seperti kegembiraan, kesihatan, ketenangan, ilmu, kemudahan dan pelbagai lagi di dunia dan akhirat," katanya.

Dalam masa sama, menurut Rita, besar keistimewaanya apabila kita didekati kucing.
"Kadang-kadang, kucing yang mendekati kita itu mungkin merimaskan. Tapi ingatlah bahawa Allah menghantar kucing itu sebenarnya untuk menguji kita.

"Ujian pertama adalah soal bagaimana kita memandang dunia terutamanya rezeki. Adakah kita terlalu cintakan dunia sehingga kita menjadi terlalu bakhil dalam berkongsi rezeki dengan yang lain? Ujian kedua adalah untuk melihat sejauh mana layanan kita kepada sesama makhluk.

"Besar keistimewaannya pada orang yang didekati kucing kerana melaluinya manusia boleh belajar ilmu ikhlas," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 4:08 PM