HANA kini jalani hidup bahagia bersama dua anaknya.
HANA kini jalani hidup bahagia bersama dua anaknya.
Norhayati Nordin


USAHAWAN yang juga bekas isteri Pencetus Ummah Abu Sufyan atau PU Abu iaitu Hana Azraa akur dia masih perlu berdepan komen segelintir warganet yang emosi dengan masalah rumah tangga orang lain.

Hana atau nama sebenar Nurhannah Azra Mohd Zakir yang kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua anaknya berkata dia bagaimanapun, melihat komen itu secara positif.

"Saya pun tak tahu, kenapa warganet berkenaan yang emosi dengan masalah rumah tangga orang lain, tapi masih kaitkan saya dalam komen yang ditulisnya. 

"Masalah saya sudah lama selesai dan sekarang semuanya kami jalani dengan baik-baik dah harmoni sahaja. Kehidupan harian saya pun disulami kegembiraan," katanya kepada Harian Metro.

Hana yang sudah lali dengan komen negatif, tiba-tiba menerima kritikan warganet beremosi itu berikutan paparan kisah rumah tangga, seorang Imam Muda yang kini hangat diperkatakan.

Menurut Hana, kehidupan manusia ini tidak sempurna dan salah silap itu akan sentiasa dilakukan. Namun, sebagai orang luar yang tidak tahu cerita sebenar ada baiknya usah ikut campur.

"Tak kisahlah, lelaki itu berstatus Imam Muda, Da'i atau pun Pencetus Ummah, realitinya kita kena ingat, mereka adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan," katanya.

Hana, sebelum ini pernah terkait kisah sensasi berhubung rumah tangganya dengan PU Abu. Namun, semuanya sudah diselesai oleh mereka dengan baik.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah rumah tangga seorang wanita, Nur Hidayu Rosly, 33, yang mendedahkan dia dicerai bekas suami dikenali Syed Faris, 34, selepas lelaki itu berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Syed Faris atau nama sebenar Syed Mohd Faris Syed Roslan adalah finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 dan sudah bernikah dengan Nur Hidayu selama 13 tahun.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima anak iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 3:16 PM